Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perasmian Karnival Anak Muda Negeri Melaka di Dataran MITC, Melaka. Foto SADIQ SANI, 04 SEPTEMBER 2026.

MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan RM300,000 kepada 3,000 warga penghantaran makanan (p-hailing) sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka menggerakkan ekonomi serta memudahkan urusan rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan berkenaan disalurkan kepada ‘rider’ p-hailing yang hadir pada Majlis Perasmian Pembukaan Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam ini.

Beliau berkata, pemberian itu merupakan antara usaha kerajaan negeri menghargai pengorbanan golongan berkenaan yang berdepan pelbagai cabaran termasuk risiko di jalan raya dan beban kos penyelenggaraan motosikal.

“Kerajaan negeri memperuntukkan RM300,000 untuk disalurkan kepada 3,000 warga p-hailing yang hadir pada malam ini sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka membantu menggerakkan ekonomi serta memudahkan urusan rakyat.

“Saya tahu, apa yang kita usahakan ini mungkin belum mampu menjawab segala cabaran yang saudara-saudari hadapi setiap hari.

“Tetapi percayalah, di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat, setiap suara, kebajikan dan masa depan warga p-hailing sentiasa berada dalam perhatian kerajaan,” katanya.

Beliau berkata dalam ucapan Perasmian Pembukaan Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini malam ini.

Menurut Ab Rauf, kerajaan negeri turut mengambil beberapa langkah bagi meningkatkan kebajikan serta keselesaan komuniti p-hailing, termasuk menyediakan lapan pusat istirehat atau Rider Pitstop di lokasi strategik.

Katanya, kerajaan negeri turut akan melaksanakan tiga ikhtiar khusus bagi membantu komuniti berkenaan, termasuk menyediakan subsidi dan diskaun servis motosikal bagi mengurangkan kos penyelenggaraan.

“Kita akan usahakan sekurang-kurangnya sebuah bengkel khas berdiskaun di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), supaya kemudahan ini lebih dekat dan mudah dicapai.

“Ketiga, kerajaan negeri juga akan meneliti caruman perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memperkukuh aspek keselamatan dan kebajikan warga p-hailing untuk jangka panjang,” katanya.

Ab Rauf berkata, kerajaan negeri turut menyediakan 10 motosikal untuk warga p-hailing menerusi cabutan bertuah sempena Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026.

Beliau berkata, langkah itu membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk terus mendengar suara golongan berkenaan dan mencari kaedah terbaik bagi meringankan beban mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here