KUALA LUMPUR – Lobi Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) minggu ini bagaikan pintu masuk ke masa depan bandar-bandar ASEAN dengan bendera pelbagai negara berkibar megah di pintu masuk.
Manakala deretan reruai pameran mempamerkan teknologi terkini dari bas elektrik tanpa pemandu, sistem pengurusan sisa pintar, hinggalah aplikasi digital untuk pemantauan banjir masa nyata.
Kelihatan juga delegasi dari seluruh Asia Tenggara, pegawai tinggi kerajaan, pakar akademik, pemimpin industri dan wakil komuniti bergerak dari satu sesi ke sesi lain.
Di ruang legar pula, kelihatan begitu berwarna warni; perbincangan serius bercampur dengan salam perkenalan selain pelbagai program dialog, sesi meja bulat, mesyuarat rasmi, majlis tandatangan MoU selain debaran prospek kerjasama baharu.
Inilah wajah ASEAN Sustainable Urbanisation Forum (ASUF), ASEAN Green Mobility Forum (AGMF) dan Meeting of Governors and Mayors of ASEAN Capitals (MGMAC) tiga program besar anjuran KPKT bersama-sama Sekretariat ASEAN United Cities and Local Government Asia Pacific (UCLG ASPAC), UN Habitat serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai Bandar Tuan Rumah.
Tiga forum ini juga telah berjaya menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari seluruh rantau, berlangsung dari 10 hingga 15 Ogos depan dengan majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sebentar tadi.

Namun tumpuan turut terarah kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, yang menjadi penggerak utama penganjuran ini.
“Malaysia berbangga menjadi tuan rumah kepada tiga program besar ASEAN ini. Kita akan memanfaatkan peluang ini untuk berkongsi kepakaran, memperkukuh jaringan kerjasama dan membentuk masa depan bandar ASEAN lebih lestari demi kesejahteraan rakyat.
“Semua usaha ini bukan sekadar perbincangan di atas kertas sebaliknya bertujuan melahirkan pelan tindakan bersama yang boleh dilaksanakan oleh semua bandar utama di ASEAN,” katanya ucapan perasmian hari ini.
ASUF – Membentuk Strategi Bandar Lestari
ASUF menjadi tulang belakang perbincangan dasar bandar di bawah ASEAN Sustainable Urbanisation Strategy (ASUS). Peserta forum membincangkan isu ketahanan bandar terhadap perubahan iklim, perumahan mampu milik, bandar pintar, penyertaan komuniti dalam perancangan bandar, belanjawan inklusif serta kepimpinan wanita dalam pembangunan.
Sesi meja bulat di ASUF memperlihatkan pertukaran idea tentang cara bandar seperti Singapore, Ho Chi Minh City dan Kuala Lumpur menangani cabaran banjir kilat, pencemaran udara dan peningkatan kos perumahan. Banyak cadangan inovatif dikemukakan, termasuk penggunaan teknologi ‘nature-based solutions’ seperti taman banjir untuk menyerap limpahan air hujan dan sistem grid tenaga komuniti untuk mengurangkan kebergantungan pada sumber tenaga fosil.
AGMF – Mobiliti Hijau Sebagai Arah Masa Depan
AGMF pula menjadi medan mempercepat transformasi sistem pengangkutan ASEAN ke arah mobiliti rendah karbon. Perbincangan memberi fokus kepada integrasi kenderaan elektrik (EV), bas elektrik, laluan basikal selamat, serta infrastruktur pengecasan EV yang saling berhubung antara bandar-bandar ASEAN.
Delegasi Filipina berkongsi pengalaman memperkenalkan perkhidmatan “e-jeepney” di Manila, manakala Indonesia membentangkan kejayaan Jakarta dalam mengintegrasikan bas elektrik ke dalam sistem pengangkutan awam. Malaysia sendiri melalui Rapid KL dan DBKL mempamerkan model bas elektrik buatan tempatan yang dijangka digunakan secara meluas dalam tempoh lima tahun akan datang.
MGMAC – Diplomasi Bandar ke Bandar
MGMAC membawa pendekatan yang lebih diplomatik, menghimpunkan Datuk Bandar dan Gabenor ibu negara ASEAN dalam pertemuan tertutup. Antara agenda utama adalah mewujudkan standard bersama dalam pengurusan sisa pepejal, keselamatan bandar, dasar perumahan mampu milik, dan perancangan pembangunan yang seimbang antara pusat bandar dan kawasan pinggir.
Sidang ini turut memeterai beberapa memorandum persefahaman (MoU) untuk projek bersama seperti pengurusan data bandar pintar, perkongsian teknologi rawatan air, dan pelaksanaan ‘green procuremen’ dalam sektor pembinaan.
Sepanjang lima hari acara, suasana KLCC sarat dengan aktiviti terutamanya di ruang pameran, usahawan tempatan mempamerkan inovasi seperti lampu jalan berkuasa solar, dron pemantau trafik dan sistem bumbung hijau.
Pelabur antarabangsa kelihatan aktif berbincang dengan pemain industri Malaysia, membuka peluang kemasukan modal ke dalam projek-projek bandar mampan.
Media tempatan dan antarabangsa pula tidak ketinggalan melaporkan perkembangan setiap sesi, sementara delegasi muda dan pelajar universiti yang dijemput khas memanfaatkan peluang ini untuk membina rangkaian hubungan dan pengetahuan.

Kor Ming menegaskan penganjuran ini sejajar dengan tema Kepengerusian ASEAN 2025 iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, di mana semua negara anggota bergerak seiring dalam memastikan pertumbuhan bandar yang adil, mesra alam dan berdaya huni.
“Kerjasama ini penting agar bandar-bandar ASEAN bukan sahaja berkembang pesat, tetapi juga mampu menghadapi cabaran perubahan iklim dan mengekalkan kelestarian alam. Ini masa kita bertindak, bukan hanya berbincang.
“Dengan berakhirnya forum ini, Malaysia bukan sahaja mengukuhkan reputasinya sebagai peneraju agenda bandar hijau ASEAN, tetapi juga membuka lembaran baharu kerjasama serantau yang akan memberi manfaat langsung kepada rakyat, alam sekitar dan ekonomi hijau rantau ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















