Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

DENGKIL – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar semua modul pendidikan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) ditransformasi kepada latihan berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, transformasi itu perlu bagi memastikan para pelanggan menerima latihan berkemahiran tinggi dalam sektor bernilai tambah tinggi (high growth, high value) yang membolehkan mereka menceburi bidang pekerjaan profesional selepas tamat pemulihan.

“Zaman telah berubah, maka modul pendidikan kita juga perlu berubah.

“Saya akan membantu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk memastikan modul pendidikan di PUSPEN dapat disesuaikan dengan keperluan TVET.

“Mereka yang berminat dalam bidang keusahawanan pula akan diberikan latihan khusus dengan kerjasama SME Corp dan KUSKOP.

“Saya juga akan berusaha mendapatkan peruntukan untuk menyediakan pembelajaran bagi kursus-kursus ini,” katanya ketika berucap sempena lawatan kerja ke PUSPEN Dengkil, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Membanteras Dadah (JKMD) Kebangsaan berkata, visi Kerajaan Madani jelas iaitu memastikan mereka yang tersasar dapat dipulihkan dan kembali ke pangkuan masyarakat sebagai insan produktif.

Ini sekali gus memutuskan kitaran kemiskinan dan jenayah.

Beliau menegaskan, usaha membanteras dadah memerlukan strategi holistik yang menggabungkan penguatkuasaan, pencegahan, pendidikan, rawatan dan pemulihan.

“PUSPEN bukan tempat menghukum, sebaliknya rumah harapan. Di sinilah semangat yang hilang dapat disemarakkan kembali, luka dirawat, dan kekuatan diri dibina semula.

“Masyarakat mungkin pernah menghukum, tetapi Tuhan tidak pernah menutup pintu taubat. Kerajaan sentiasa percaya kepada peluang kedua,” ujarnya.

Beliau turut menyeru sektor swasta agar membuka peluang pekerjaan kepada bekas penghuni PUSPEN bagi membantu mereka memulakan hidup baharu, selain mengurangkan kadar jenayah dan meningkatkan produktiviti negara.

Melalui JKMD, katanya, fasiliti PUSPEN akan terus diperkasa, modul dipertingkatkan dan Program Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) akan diperluas bersama kerjasama pihak majikan.

“Perang melawan dadah adalah perang yang panjang. Selagi ada satu nyawa yang boleh diselamatkan, selagi itu kita akan terus berjuang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast