KUALA LUMPUR – Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) serta semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha akan ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan polis berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir selesai.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu diambil susulan pengumuman Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes Zara Qairina.
Menurutnya, KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksana secara menyeluruh, teliti dan tuntas.
“Sebagaimana yang telah ditegaskan, kes tersebut merupakan keutamaan KPM pada masa ini.
“KPM berharap siasatan telus dan sepenuhnya dapat dilaksanakan dem keadilan buat keluarga serta semua pihak terlibat,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/08/11/jsj-bukit-aman-ambil-alih-siasatan-kes-zara-qairina/
Kelmarin, PDRM mengumumkan penubuhan satu pasukan petugas khas dari Bukit Aman yang akan mengambil alih siasatan kes kematian Zara Qairina.
Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) dalam kenyataan berkata, pasukan terdiri daripada sembilan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) itu digerakkan ke Kontinjen Sabah sebahagian daripada komitmen memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.
Terdahulu, proses bedah siasat jenazah Zara Qairina selesai dijalankan selama hampir lapan jam di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, Sabah, selepas kubur Allahyarham digali semula atas arahan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Pelajar berusia 13 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri di SMKA Tun Mustapha, Papar pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth. – MalaysiaGazette
















