KLUANG – Seorang lelaki berstatus suami orang memberi alasan menghantar ubat semasa ditangkap khalwat dengan seorang janda di sebuah hotel di sini malam tadi.
Bagi menguatkan alasan itu, lelaki terbabit menunjukkan ubat dari dalam beg tangan janda tersebut dan menunjukkan kepada penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) yang sedang melakukan siasatan.
Menurut JAINJ, janda tersebut cuba memberi alasan lain supaya tidak dicekup iaitu tidak sihat dan berada di hotel berkenaan kerana cuaca panas dan lebih selesa kerana ada pendingin hawa.
“Apabila ditanya kenapa lelaki datang ke bilik ini, dia kata dia datang untuk menghantar ubat kerana wanita itu mengadu sakit. Mereka menunjukkan ubat itu yang dikeluarkan dari beg tangan wanita.
“Apabila ditanya kenapa tak pergi klinik atau hospital, wanita itu kata sakitnya dah kebah dengan ubat itu. Penguat kuasa bertanya kenapa wanita datang tidur di hotel sedangkan rumahnya dekat.
“Dia kata rumahnya tiada aircond dan cuaca panas sekarang dan lebih selesa tidur hotel yang ada aircond kerana dia tak berapa sihat,” jelas JAINJ dalam kenyataan itu.
Bagaimanapun penguat kuasa tidak termakan dengan semua helah yang diberikan dan meneruskan siasatan dalam operasi cegah maksiat tersebut.
JAINJ memberitahu, sebelum itu penguat kuasa melakukan pemeriksaan di hotel tersebut secara rambang dan berkala di daerah ini pada pukul 11.50 malam.
Apabila sampai, pihak JAINJ mengetuk pintu bilik sambil memberi salam dan lima minit kemudian dibuka seorang lelaki yang memakai t-shirt dan seluar panjang jean.
Penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk untuk pemeriksaan lanjut sebelum menemui wanita terbabit duduk di atas katil memakai t-shirt dan seluar panjang.
Hasil soal siasat, mereka mengaku hanya berdua-duan dan bukan suami isteri.
“Lelaki ini berumur 30-an, berstatus suami orang manakala wanita itu pula berumur 30-an, berstatus janda dan kedua-duanya bekerja di daerah ini.”
Jelas JAINJ, pemeriksaan mendapati keadaan katil, cadar, bantal dan selimut berkembur serta bersepah.
“Bilik ini disewa atas nama wanita yang mendaftar masuk pada sebelah petang dengan menaiki grab. Lelaki pula masuk hotel menaiki motosikal sebelah malam.
“Rumah lelaki adalah dalam lingkungan kurang 10 kilometer manakala rumah wanita pula sekitar 25 kilometer.”
Apabila penguat kuasa bertanya suspek lelaki bagaimana hubungan isterinya, dia memaklumkan hubungannya baik-baik saja dan bahagia.
“Bagaimanapun, apabila diminta isterinya datang sebagai penjamin, mulalah dia resah dan berdolak dalih. Mungkin bila isterinya datang nanti, dia kata dia tak salah kerana ditangkap semasa hantar ubat saja dan harapnya isteri dia simpati dan iringi dia ke mahkamah nanti.”
Pasangan berkenaan disiasat bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997.- MalaysiaGazette
















