Selepas sesi dialog Pembandaran Lestari Asean (ASUF) dan Inisiatif Rangkaian Bandar Pintar Asean (ASCN) ketika di di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 13 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – ASEAN komited memperkukuh pelaksanaan ‘ASEAN Sustainable Urbanization Strategy (ASUS) dan ASEAN Smart City Network (ASCN)’ melalui dialog berprofil tinggi yang berlangsung pada sesi pagi ini disertai wakil kanan empat negara anggota.

Perbincangan ini memberi tumpuan kepada cabaran, peluang serta amalan terbaik dalam membangunkan bandar inklusif, mampan dan pintar di rantau ini.

Sesi itu dimoderatorkan oleh Abhineet Kaul seorang pakar pembangunan bandar serantau yang berperanan menyelaras pandangan panelis selain memastikan perbincangan merangkumi aspek ekonomi, sosial, alam sekitar dan teknologi.

Malaysia diwakili oleh Timbalan Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Komuniti Sarawak, Rudazaimier Malek menekankan pembangunan bandar pintar harus disesuaikan dengan keperluan setempat dan bukannya sekadar mengikut trend teknologi.

Menurutnya, pendekatan pintar berpotensi besar meningkatkan pengurusan sumber, mengurangkan kesan alam sekitar, serta mempertingkat kualiti hidup rakyat, antaranya melalui penggunaan IoT, kecerdasan buatan (AI) dan data raya.

Rudazaimier turut menggariskan beberapa keutamaan termasuk sistem pengurusan tenaga pintar bagi mengoptimumkan penggunaan elektrik dan mengurangkan pelepasan karbon.

“Juga sistem pengurusan air pintar untuk mengesan kebocoran dan mengawal kualiti sumber air serta sistem pengurusan sisa dan lalu lintas pintar bagi mengurangkan kesesakan dan pelepasan gas pencemar.

“Kuching sebagai contoh, percaya bahawa bandar pintar adalah hala tuju masa depan untuk memastikan kelestarian generasi kini dan akan datang,” katanya di sini hari ini.

Timbalan Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Komuniti Malaysia, Rudazaimeir Malek berucap pada sesi dialog Pembandaran Lestari Asean (ASUF) dan Inisiatif Rangkaian Bandar Pintar Asean (ASCN) ketika di di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 13 OGOS 2025.

Sementara itu, wakil Thailand, Naib Presiden Eksekutif, Agensi Pemerkasaan Ekonomi Digital, Supakorn Siddichai, berkongsi inisiatif Thailand Digital Catalogue yang memadankan penyelesaian teknologi dengan keperluan sebenar kerajaan tempatan.

Menurutnya, katalog ini memastikan setiap produk atau perkhidmatan yang disenaraikan telah melalui proses penilaian, sekali gus mengurangkan risiko kepada pihak berkuasa tempatan dan memperkukuh keyakinan mereka untuk melaksanakan projek pintar.

“Kami mahu penyelesaian yang benar-benar membantu menyelesaikan cabaran, bukan sekadar mempamerkan teknologi baharu.

”Katalog digital ini bukan sahaja memudahkan pemadanan pembekal dan pengguna, malah turut menyokong pembangunan usahawan tempatan,” jelas Supakorn.

Sementara itu, Menteri Kanan Negara di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian serta Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Singapura, Low Yen Ling menegaskan bahawa bandar pintar tidak hanya mengenai infrastruktur digital, tetapi juga mengenai pembangunan masyarakat yang berdaya tahan.

Beliau berkongsi pengalaman Singapura dalam memupuk inovasi melalui kerjasama sektor awam dan swasta, selain memastikan warga kota dilibatkan secara aktif dalam proses membuat keputusan.

“Teknologi hanyalah alat. Yang penting ialah bagaimana kita menggunakannya untuk meningkatkan kehidupan masyarakat, melindungi alam sekitar, dan membina bandar yang inklusif. Kita mempunyai keperluan melatih rakyat dengan kemahiran digital agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan perubahan pesat,” ujarnya.

Dari Filipina, Penolong Setiausaha Hubungan Antarabangsa, Jabatan Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan, Lilian M. De Leon menekankan peranan kerjasama serantau dalam memperkukuh pembangunan bandar mampan.

Beliau menyatakan pelaksanaan ASUS dan ASCN memberi peluang kepada bandar-bandar di Filipina untuk memanfaatkan kepakaran teknikal dan model pembangunan daripada negara jiran ASEAN.

“Kami mahu memastikan setiap bandar mendapat akses kepada amalan terbaik, teknologi bersesuaian, dan sokongan pembiayaan agar transformasi bandar dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” ujar Lilian.

Beliau juga memberi bayangan terdapat potensi besar kerjasama pelbagai pihak dalam membina bandar berdaya huni.

Perbincangan turut memfokuskan kepentingan pendekatan bersepadu yang melibatkan semua lapisan masyarakat, daripada pembuat dasar hingga ke komuniti setempat.

Para panelis sependapat bahawa tanpa penglibatan aktif rakyat, pelaksanaan bandar pintar dan strategi pembandaran mampan akan sukar mencapai matlamatnya.

Sesi dialog ini diakhiri dengan gesaan agar negara-negara ASEAN terus memperkukuh jaringan kerjasama melalui platform seperti ASCN, memanfaatkan teknologi secara bijak, dan mengekalkan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast