PUTRAJAYA – Ibu bapa kepada pelajar Tingkatan 5, mendiang G Sharvina hari ini hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat laporan berhubung dakwaan wujud elemen kecuaian, salah guna kuasa dan rasuah dalam siasatan kes kematian anak mereka.
Laporan itu dibuat bersama Arun Dorasamy, wakil Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia yang juga jurucakap keluarga mangsa.
Arun berkata, langkah ke SPRM itu dibuat bagi menuntut siasatan terhadap pihak-pihak yang didakwa menyembunyikan maklumat penting berkaitan kejadian, termasuk tindakan lewat memanggil ambulans walaupun sekolah terletak hanya satu minit dari sebuah klinik dan kira-kira 15 minit dari hospital.
“Ini bukan sekadar isu racun. Kita tidak tahu sama ada dia dipaksa minum, terminum atau minum sendiri. Yang kita tahu, mangsa meninggal dunia bukan sahaja kerana racun tetapi kerana kecuaian sekolah yang mengambil masa hampir dua jam untuk menunggu ambulans. Kenapa ambulans dipanggil lewat?
“Soalan ini kini berada di bawah siasatan SPRM, saya tidak mahu cakap lebih tentang siasatan SPRM sebaliknya biar agensi ini siasatan tentang aduan kami.
“Ketika ini, ayah kepada mangsa masih lagi sedang memberikan keterangan dan kita doa yang terbaik,” katanya kepada media ketika ditemui di pekarangan SPRM di sini.

Pada masa sama, Arun juga mendedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesahkan pihaknya telah membuka semula kertas siasatan yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai ‘No Further Action’ (NFA).
Menurut Arun, polis akan meneliti semula semua aspek termasuk elemen yang sebelum ini dipercayai telah disembunyikan.
Tragedi Sharvina berlaku pada 27 Mei lalu apabila pelajar itu rebah di dalam kelas dengan mulut berbuih dipercayai akibat menelan racun, dia difahamkan meninggal dunia kira-kira dua jam kemudian.
Dakwa keluarga, sebelum kejadian, Sharvina pernah menjadi mangsa buli oleh beberapa pelajar di sekolahnya namun rekod berhubung insiden-insiden itu didakwa telah ‘dipadamkan’.
“Bagaimana rekod boleh hilang? Ibu mangsa, P. Magaswari, pernah melihat wajah anaknya dipenuhi habuk pensel yang diasah dan mendakwa anaknya juga pernah dipukul di sekolah. Tetapi semua maklumat ini tidak sampai kepada polis.
“Budaya sorok maklumat ini berbahaya. Kita ada lima juta murid di sekolah setiap hari, dengan lima juta ibu bapa yang berharap anak mereka selamat. KPI sekolah tidak boleh lebih penting daripada keselamatan pelajar,” tegasnya.
Katanya, keluarga mahu keadilan ditegakkan dan berharap siasatan baharu oleh PDRM serta SPRM akan membawa pendedahan penuh terhadap apa yang berlaku selain memastikan pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan. -MalaysiaGazette
















