KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin pembangkang mempersoalkan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang hanya memperuntukkan RM3 juta untuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah berasrama penuh (SBP) terpilih.
Ir. Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, langkah KPM itu disambut baik namun, masih tidak mencukupi dan perlu diperluas ke semua sekolah berasrama di bawah kementerian termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan sekolah harian yang mempunyai asrama.
“Saya ucapkan terima kasih kepada KPM sebab akhirnya dengar apa yang dicadangkan oleh rakyat dan pimpinan politik dari Perikatan Nasional (PN). Cumanya, kenapa hanya sekolah terpilih saja yang dilengkapi CCTV?
“Sekolah mana yang dipilih? Adakah nyawa pelajar di sekolah yang tidak terpilih itu kurang penting?” soal beliau yang merupakan Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan Pas Pusat dalam kenyataan hari ini.
Pada 12 Ogos lalu, Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan kepada KPM agar semua sekolah berasrama dilengkapi dengan CCTV sebagai langkah keselamatan susulan beberapa isu keselamatan pelajar yang tular.
Cadangan yang sama turut disuarakan Ketua Pemuda Pas Selangor, Sukri Omar ketika himpunan #Justice4Zara pada Jumaat lepas.
Susulan itu, semalam KPM mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk memasang CCTV di beberapa SBP terpilih, manakala sekolah lain akan dilengkapi kemudian.
Dalam pada itu Nurul Islam turut membandingkan peruntukan tersebut dengan perbelanjaan kerajaan yang lebih besar bagi tujuan lain.
“Kalau kerajaan boleh belanja RM8.4 juta hanya untuk lencana Jalur Gemilang, takkanlah tak boleh sediakan dana mencukupi untuk pasang CCTV di semua sekolah berasrama?
“Ini soal keselamatan, bukan boleh tangguh-tangguh. Kalau nak jadi, bila-bila masa boleh jadi,” tegasnya.
Beliau turut mendesak agar kepimpinan tertinggi KPM menilai semula jumlah peruntukan tersebut dan segera membawa perkara itu kepada perhatian Perdana Menteri sekiranya dana kementerian tidak mencukupi.
“Kalau ini pun tak mampu dilaksanakan, lebih baik turun saja semua,” katanya lagi.
Ketika ini, terdapat 72 SBP di seluruh negara, manakala jumlah SMKA dan sekolah harian berasrama tidak disenaraikan secara rasmi oleh KPM. – MalaysiaGazette
















