Gambar hiasan

SINGAPURA – Singapura akan memperkenalkan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan rokok elektronik (vape), termasuk kemungkinan hukuman penjara bagi pelanggaran yang dianggap “serius”

Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan perkara itu pada Ahad.

“Setakat ini kita menganggap vape sama seperti tembakau — paling tinggi kita kenakan denda, tetapi itu sudah tidak mencukupi.

“Kita akan menganggapnya sebagai isu dadah dan mengenakan hukuman yang jauh lebih berat,” katanya.

Ini bermakna hukuman penjara dan tindakan lebih tegas terhadap mereka yang menjual vape yang dicampur dengan bahan berbahaya.

Tambahnya, Singapura juga akan menyediakan pusat pemulihan untuk penagih vape.

Vape sudah pun diharamkan di Singapura, dengan pegawai kesihatan memberi amaran bahawa sepertiga daripada yang dirampas mengandungi bahan bius etomidate.

Doktor biasanya menyuntik etomidate untuk tujuan sedasi, tetapi penyalahgunaannya boleh menyebabkan halusinasi dan kegagalan organ kekal.

Negara itu juga sedang berusaha untuk mengklasifikasikan semula etomidate sebagai dadah terlarang di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Di bawah klasifikasi baharu itu, pengguna vape yang dicampur etomidate akan berdepan hukuman setegas pengguna dadah berat seperti kokain.

Mereka akan diwajibkan menjalani pemulihan mandatori atau, bagi kesalahan berulang, dijatuhi hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun. -AGENSI

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast