KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan video tular memaparkan seorang wanita terjun dari sebuah kenderaan yang sedang bergerak laju di Lebuhraya Sprint, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, rakaman berdurasi 14 saat itu dimuat naik menerusi akaun Facebook Lion Wong pada 18 Ogos lalu.
“Video tersebut menunjukkan seorang wanita membuka pintu sebelum keluar dari sebuah kenderaan ketika ia sedang bergerak di lorong kedua lebuh raya berkenaan.
“Wanita itu dilihat bergolek di atas jalan raya dan hampir dilanggar beberapa kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, polis memaklumkan setakat ini tiada sebarang laporan dibuat berhubung kejadian tersebut.
Sehubungan itu, orang ramai termasuk saksi kejadian diminta tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan IPD Brickfields di talian 03-22979222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-21159999,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















