Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan mempertahankan tindakan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) yang mengagihkan komputer riba terpakai kepada lebih 6,000 pelajar di seluruh negara.

Beliau menegaskan, program tersebut menunjukkan impak positif berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pihak sekolah dan para guru.

“Secara keseluruhan, semakan terhadap impak program ini mendapati ia memberi kesan yang positif, berdasarkan maklum balas daripada pihak pentadbiran sekolah dan guru-guru,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Ramanan berkata demikian sebagai maklum balas terhadap dakwaan V. Ganabatirau (PH-Klang) yang mendakwa komputer riba terpakai itu tidak boleh digunakan dan membebankan pelajar India.

Ramanan berkata, pembekal telah mengambil tanggungjawab penuh untuk menyelesaikan semua aduan yang diterima daripada pihak sekolah dari semasa ke semasa.

“Jadi, saya tidak faham mengapa ada pihak yang membuat dakwaan sedemikian. Ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab.

“Komputer riba ini bukannya dibekalkan oleh Ah Chong, Amir, Raju, Muniandi atau Ahmad. Ia dibekalkan oleh Google. Google itu tidak cukup besar untuk mereka? Semua komputer ini disertakan dengan jaminan,” katanya.

Menurut beliau, pengagihan komputer riba baharu memerlukan peruntukan kewangan yang sangat besar dan tidak mampu ditanggung oleh Mitra yang bukan merupakan kementerian.

“Ini adalah Mitra, bukan kementerian. Kita perlu berhemah.

“Kita telah pun mengagihkan komputer riba kepada 520 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), berjumlah 6,000 unit. Komputer ini disediakan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Google.

“Jika kita beli komputer riba baharu, ia memerlukan bajet yang sangat besar. Jadi, bagaimana pula kita mahu membiayai program lain?” ujarnya.

Tambah beliau, walaupun terdapat beberapa isu kecil berkaitan komputer riba tersebut, semuanya telah diselesaikan segera oleh pihak pembekal.

“Saya tidak faham tujuan tuduhan ini. Kalau hendak meraih keuntungan politik, jangan gunakan komuniti kita. Cari isu lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast