Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

DI SEBALIK kedudukan geografi yang sederhana dan saiz ekonomi yang tidak sebesar kuasa besar dunia, Malaysia sering muncul sebagai suara yang lantang tetapi sederhana dalam mendepani isu global.

Daripada isu Gaza yang sekian lama menekan geopolitik global, hinggalah usaha mendamaikan konflik sempadan antara Kemboja dan Thailand di Asia Tenggara, Malaysia mengekalkan reputasi sebagai negara yang tidak berpihak, namun tetapi tetap tegas dalam memperjuangkan prinsip kemanusiaan.

Puncanya, dasar luar negara yang sering digerakkan atas dua prinsip utama iaitu keadilan sejagat serta penolakan terhadap penyelesaian berasaskan keganasan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sendiri berulang kali menegaskan bahawa sebarang konflik tidak harus dileraikan dengan bedilan senjata atau penguasaan ketenteraan.

Sebaliknya, jalan musyawarah, dialog dan rundingan menjadi pilihan yang konsisten diangkat Malaysia.

Pendekatan ini bukan sekadar retorik, malah cerminan realiti bahawa perang hanya berupaya meninggalkan parut yang panjang, sedangkan jalan damai menjanjikan ruang untuk terus melakar pembangunan.

Isu Gaza menjadi salah satu contoh paling jelas bagaimana Malaysia tampil dengan pendirian yang konsisten. Di saat ada negara Islam lain memilih pendekatan lebih berhati-hati, Malaysia tidak segan mengangkat suara lantang, mengutuk kekejaman rejim Zionis.

Serangan ke atas rakyat Palestin yang tidak bersenjata, hospital yang dimusnahkan serta sekatan kemanusiaan yang berlarutan bukan sahaja mencabuli undang-undang antarabangsa, malah melanggar nilai asas kemanusiaan.

Di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia kerap mengemukakan desakan agar gencatan senjata segera dilaksanakan. Malaysia turut menggerakkan bantuan kemanusiaan bersama pertubuhan masyarakat sivil dan agensi antarabangsa.

Semua pendekatan ini memperlihatkan bahawa Kuala Lumpur tidak sekadar bersuara, tetapi turut menyumbang tenaga dan sumber.

Apa yang menjadikan Malaysia lebih dihormati? Jelas sekali pendiriannya yang bebas daripada kepentingan geopolitik kuasa besar. Berbeza kuasa-kuasa besar yang sering dilihat condong ke arah pihak tertentu atau menilai isu dari lensa persaingan geopolitik peribadi, Malaysia bagaimanapun tampil sebagai suara mesra yang vokal atas dasar kemanusiaan semata.

Di peringkat serantau sendiri, Malaysia dengan ‘topi’ Pengerusi ASEAN memainkan peranan cukup penting dalam menyelesaikan konflik serantau. Tidak ramai sedar betapa rumitnya pertikaian sempadan antara Kemboja dan Thailand di sekitar kawasan Preah Vihear lebih sedekad lalu.

Namun, Malaysia bersama ASEAN menjadi pemudah cara yang cukup berkesan, akhirnya membuka ruang damai.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia menjadi jambatan perbincangan antara Phnom Penh dan Bangkok. Keupayaan Malaysia untuk berhubung mesra dengan kedua-dua pihak tanpa menonjolkan kepentingan sendiri, menjadikan Kuala Lumpur dihormati.

Dunia, termasuk kuasa besar dan jiran serantau, memuji usaha ini. Namun di sebalik pujian itu, ada mesej yang lebih besar, membuktikan bahawa ASEAN mampu untuk menyelesaikan masalah di tanah sendiri tanpa perlunya ada campur tangan luar.

ASEAN selaku blok kerjasama yang semakin mengukuh juga perlu sedar bahawa kestabilan serantau wajib dijadikan sebagai syarat asas sekiranya mahu melihat rantau ini terus melangkah sebagai blok ekonomi berpengaruh. Konflik hanya akan membantutkan integrasi ekonomi dan menghakis keyakinan pelabur asing.

Hari ini, ASEAN bukan lagi blok kecil yang boleh dipandang remeh. Dengan jumlah penduduk melebihi 670 juta orang, ia jelas sekali pasaran ketiga terbesar di dunia selepas India dan China.

Pada 2023, nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan ASEAN mencecah hampir AS$4 trilion, menjadikannya ekonomi kelima terbesar dunia.

ASEAN juga destinasi pelaburan yang semakin menarik, dengan aliran masuk pelaburan langsung ssing (FDI) ke rantau ini dilaporkan sekitar AS$224 bilion pada 2022, sekali gus meletakkannya di hadapan banyak kawasan lain yang berdepan ketidaktentuan politik.

Angka-angka ini jelas menunjukkan bahawa kestabilan bukan sahaja persoalan keamanan, tetapi juga syarat utama untuk terus mengukuhkan kedudukan ASEAN di peta ekonomi global.

Di sinilah peranan Malaysia kembali menyerlah. Dengan reputasi sebagai negara yang sederhana, mesra dan tidak agresif, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN mampu menggalas tanggungjawab memastikan suara damai terus mengakar dalam wacana serantau.

Sama ada dalam isu Laut China Selatan, konflik di Myanmar atau persaingan kuasa besar di rantau Indo-Pasifik, suara Malaysia berfungsi sebagai pengimbang yang menyegarkan.

Mungkin ada yang bertanya, apakah kekuatan sebenar Malaysia untuk terus relevan di pentas global. Jawapannya ialah pendekatan diplomasi mesra tetapi tegas.

Malaysia tidak mempunyai angkatan tentera sebesar Amerika Syarikat (AS) atau bajet pertahanan sehebat China. Namun, kekuatan negara ini terletak pada imejnya sebagai rakan yang boleh dipercayai, tidak mudah dipengaruhi, serta sentiasa mencari jalan damai.

Pendekatan ini juga selari nilai budaya serantau yang menjunjung semangat musyawarah. Dalam konteks serantau, ‘ASEAN Way’ sering disebut, merujuk cara penyelesaian konflik melalui konsensus, bukan konfrontasi.

Malaysia, dengan pengalaman sejarah dan kepelbagaian budaya, sering dilihat sebagai lambang kepada pendekatan ini.

Di tengah dunia yang semakin sarat dengan konflik, suara sederhana seperti Malaysia amat diperlukan. Sama ada memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang terus dizalimi atau membantu menjernihkan hubungan jiran serantau, Malaysia membuktikan bahawa negara kecil sekalipun boleh memainkan peranan besar.

Pendirian Anwar bahawa senjata bukan jawapan adalah mesej yang selari dengan tuntutan semasa. Dunia kini tidak memerlukan lebih banyak perang, tetapi lebih banyak suara damai.

Dengan ASEAN sedang mengorak langkah sebagai kuasa ekonomi dan geopolitik, Malaysia wajar terus kekal sebagai suara yang menenangkan, mesra dan tidak berpihak, tetapi tetap tegas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast