Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas memandang serius siasatan polis yang dijalankan terhadap editor portal berita MalaysiaNow, Abdar Rahman Koya, susulan laporan polis dibuat oleh ahli perniagaan terkenal dan bekas pemimpin PKR, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, siasatan itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia melibatkan prinsip kebebasan media yang mesti dipertahankan dalam sistem demokrasi negara.

Takiyuddin berpendapat, siasatan itu kelihatan agak berlebih-lebihan dan tampak lebih bertujuan intimidasi bagi mengunci mulut media daripada mendedahkan dakwaan salah laku melibatkan agensi kerajaan serta pihak berkepentingan tertentu.

Kepantasan siasatan dan hakikat bahawa pihak-pihak yang didakwa terlibat telah pun mengambil tindakan masing-masing menolak laporan media itu, sama ada melalui penjelasan, penafian dan saman sivil terhadap Abdar Rahman dan portal berita yang diketuainya menyebabkan siasatan polis yang dijalankan boleh dianggap tidak mendesak atau perlu,” kata dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengikut laporan, Abdar Rahman disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia susulan laporan portal berita berkenaan mengenai dakwaan skandal pemberian lesen penerokaan mineral di Sabah.

Laporaan tersebut dikaitkan dengan syarikat milik bersama ahli perniagaan terbabit yang juga merupakan bekas pegawai kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam perkembangan sama, Pas turut membandingkan situasi ini dengan kes melibatkan wartawan Malaysiakini, B. Nantha Kumar yang didakwa di bawah Akta SPRM susulan laporan berkaitan kartel kemasukan pekerja asing di KLIA pada Februari lalu.

Justeru, Pas sekali lagi menegaskan badan penguat kuasa hendaklah mengutamakan dan memberi tumpuan pada pendedahan salah laku atau perbuatan jenayah yang didakwa berlaku, bukannya menyasarkan wartawan dan media yang melaporkannya.

“Lebih-lebih lagi apabila siasatan dimulakan berikutan laporan yang dibuat oleh pihak-pihak berkepentingan langsung dalam kedua-dua kes,” katanya.

Menurut Pas, tindakan badan penguat kuasa sebegini boleh dilihat sebagai langkah mundur yang bertentangan dengan peranan wartawan serta media sebagai tonggak penting demokrasi, prinsip kebebasan bersuara dan fungsi semak imbang.

Pas merasakan apa-apa tindakan atau perbuatan yang boleh dilihat mengganggu, menyekat atau menakut-nakutkan teras keempat demokrasi ini hendaklah dielakkan sama-sekali.

“Profesionalisme dan integriti badan-badan penguat kuasa bukan sahaja mesti dihormati dan dipertahankan oleh semua pihak tanpa memilih bulu, tetapi juga dijamin bebas daripada semua bentuk campur tangan dan pengaruh luar tidak sah,” katanya lagi.

Khamis lalu, Farhash bersama dua individu lain memfailkan saman fitnah terhadap portal berita MalaysiaNow dan editornya, dengan menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta berhubung artikel portal itu mengenai skandal perlombongan di Sabah.

Selain RM10 juta, plaintif turut menuntut ganti rugi teruk, teladan dan ganti rugi tambahan, perintah mahkamah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf penuh, tanpa syarat dan terbuka di portal tersebut, faedah lima peratus setahun, serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Ketiga-tiga mereka juga menuntut defendan memadam artikel berkenaan daripada laman MalaysiaNow dan telah memfailkan permohonan injunksi segera untuk menghalang portal itu daripada mengulang siar artikel yang didakwa berunsur fitnah tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast