KUALA LUMPUR – Tabung Haji (TH) adalah simbol maruah umat Islam Malaysia dan lambang keyakinan lebih sembilan juta pendeposit yang menaruh harapan untuk menjejakkan kaki ke Baitullah.
Oleh itu, isu berkaitan Tabung Haji tidak wajar dijadikan gelanggang perseteruan berpanjangan kerana ia hanya merugikan umat, tegas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
“Dengan penuh keinsafan, saya melihat isu ini tidak wajar dijadikan gelanggang perseteruan yang berpanjangan.
Maka, pertelingkahan yang ada wajar diselesaikan dengan baik dan pastinya mengutamakan suara hati majoriti para pendeposit di Tabung Haji,” katanya dalam satu kenyataan.
Isu penjenamaan semula TH mencetuskan kontroversi dan perdebatan dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia, terutama mengenai kos dan penglibatan syarikat bukan Islam dalam proses tersebut.
Lembaga TH baru-baru ini terlibat dalam kontroversi berkaitan dengan proses penjenamaan semula yang dikatakan menelan belanja sebanyak RM20 juta.
Namun, TH menafikan dakwaan ini dan menyatakan kos sebenar adalah RM6 juta, dibayar dalam tiga peringkat selama tiga tahun.
Isu ini telah dibangkitkan di Parlimen oleh Datuk Ahmad Marzuk Shaary, yang mempertikaikan penglibatan syarikat bukan Islam dalam projek tersebut.
Dalam pada itu, Dr. Zulkifli Mohamad berkata, penjenamaan semula TH adalah sebahagian usaha mengekalkan daya saing dan imej global, namun sebarang perubahan mesti berpaksikan kepada maruah agama dan keyakinan umat.
“Semasa saya menjawat jawatan Menteri, antara agensi terawal yang berkunjung ke pejabat saya dan menawarkan bantuan memperkukuh fungsi Tabung Haji ialah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU),” ujarnya.
Katanya, kerjasama awal itu membuktikan pemerkasaan ekonomi bumiputera tidak boleh dipisahkan daripada kekuatan institusi Islam, dan Tabung Haji adalah antara lambang kepercayaan ummah yang mesti dipertahankan.
Beliau berkata, Tabung Haji berdiri kerana kepercayaan lebih sembilan juta pendeposit dari pelbagai lapisan masyarakat dan kepercayaan itu merupakan modal terbesar institusi tersebut.
“Setiap keputusan mesti memelihara sensitiviti majoriti pendeposit, menutup jalan fitnah, menjaga maruah agama dan memastikan maslahat tidak bercanggah dengan nas syarak,” katanya. – MalaysiaGazette
















