KOTA TINGGI – Kementerian Pertahanan (Mindef) sudah pun membuka tender untuk penyewaan empat helikopter bagi kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sewaan itu dibuat selepas Mindef membatalkan kontrak sewaan helikopter Black Hawk pada November tahun lalu, berikutan pihak syarikat terbabit gagal membekal dan menyediakan helikopter tersebut mengikut tempoh ditetapkan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penilaian mendalam dilakukan terhadap helikopter tersebut termasuk teguran Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk tidak mengulangi kesilapan sebelum ini.
Menurutnya, jenis helikopter tersebut masih belum ditentukan lagi dan akan bergantung kepada syarikat yang akan mengemuka tender tersebut nanti.
“Proses tender tersebut akan ditutup pada akhir September ini. Kita memang sudah tamatkan apabila syarikat itu (syarikat lama) gagal membekalkan dan menyediakan helikopter (Black Hawk), kita telah pun mengenakan denda kepada syarikat itu.
“Sekarang ini, oleh kerana ada keperluan TDM untuk mempunyai kegunaan helikopter, maka pihak Kementerian sudah pun membuka tender untuk penyewaan empat buah helikopter bagi kegunaan TDM.
“Kita akan lihat semasa penilaian supaya kita ambil kira pandangan-pandangan yang telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim,” katanya.
Beliau berkata demikian katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Cina Kota Tinggi di Medan Selera Muafakat di sini hari ini.
Pada 16 Ogos lalu, Sultan Ibrahim bertitah supaya Mindef membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama yang telah berusia lebih 30 tahun.
Baginda sebagai pemerintah tertinggi ATM turut mengingatkan kementerian tersebut supaya tidak mengulangi kesilapan dahulu.
“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat SkyHawk secara second-hand. Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? Awak fikirlah sendiri.
“Saya percaya “(cadangan) ini semua berlaku kerana di Kementerian Pertahanan penuh dengan ejen atau bekas jeneral yang menjadi jurujual malah ada syarikat penjual kain pun masuk hendak jual drone,” titah baginda dalam Facebook.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, menerusi tender baharu itu pihaknya akan meneliti dan menilai secara terperinci termasuk membabitkan tempoh hayat helikopter.
“Sewaan Black Hawk dulu maknanya tender, dia dah tender, dia menang award, kita batalkan award tu kerana dia (syarikat) gagal untuk sediakan. Jadi sebab itulah dia didenda dan kita tarik dia (syarikat) punya wang jaminan.
“Jadi sekarang ini ada tender baru (empat helikopter) nanti kita nilailah. Kita lihat jenis helikopter, berapa umur helikopter itu, berapa harga sewa dan sebagainya.
“Sebab satu-satu jangka hayat helikopter tu panjang. Oleh kerana ini kita mahu sewa saja, tentunya tidak mudah nak dapat yang baharu,” katanya.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















