KUALA LUMPUR – Seramai 11 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) mencipta pencapaian membanggakan apabila berjaya mendapat tempat di Imperial College London, United Kingdom (UK), iaitu universiti nombor dua dunia berdasarkan QS World University Rankings 2026.
Pencapaian itu merupakan antara kejayaan utama pelajar tajaan MARA bagi tahun ini dengan keseluruhan 40 pelajar berjaya mendapat tempat di universiti dalam kelompok 10 terbaik dunia, manakala 107 pelajar mendapat tempat di 20 universiti terkemuka dunia.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kesemua pelajar tersebut merupakan sebahagian daripada 600 pelajar tajaan MARA yang akan melanjutkan pengajian ke luar negara pada tahun ini melibatkan sembilan negara iaitu China, New Zealand, Korea Selatan, Perancis, Australia, Ireland, Kanada, United Kingdom dan Mesir.
Menurut beliau, kejayaan pelajar tersebut membuktikan bahawa anak-anak MARA mempunyai keupayaan, daya saing dan potensi untuk menyerlah di pentas global.
Katanya, pencapaian itu turut membuktikan keupayaan anak Bumiputera untuk bersaing dengan pelajar terbaik dari seluruh dunia.
“Lebih membanggakan, seramai 175 orang pelajar tajaan MARA telah berjaya menamatkan pengajian di Imperial College London manakala 22 orang lagi sedang mengikuti pengajian di universiti berprestij tersebut.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan MARA dalam melahirkan generasi berpendidikan tinggi yang mampu mengharumkan nama Malaysia serta menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.
“Kita tidak mahu mereka sekadar masuk ke universiti terbaik dunia, tetapi mahu mereka keluar sebagai graduan pilihan industri yang mempunyai ilmu, kemahiran, karakter, kepimpinan dan pengalaman yang diperlukan dunia pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pra Pelepasan Pelajar Tajaan MARA ke Luar Negara Perdana 2026 di Pusat Dagangan Dunia di sini, hari ini.
Asyraf Wajdi menambah, pencapaian pelajar MARA turut mencerminkan keberkesanan ekosistem pendidikan agensi itu dalam membangunkan bakat berprestasi tinggi sejak di peringkat prauniversiti.
Menurutnya, dalam laluan International Baccalaureate (IB) di Kolej MARA Banting, dua pelajar memperoleh 45 mata penuh, manakala empat pelajar memperoleh 44 mata.
“Sementara itu, seorang pelajar Kolej MARA Seremban mencatat keputusan 4A dalam A-Level dan dua pelajar memperoleh 4A.
“Ini bukan sekadar angka atau ranking kerana di sebalik setiap pencapaian ini ada usaha pelajar, ibu bapa, guru dan pensyarah serta pelaburan MARA dalam membina ekosistem pendidikan yang kompetitif.
“Namun, kejayaan sebenar bukan hanya apabila mereka mendapat ijazah daripada universiti terbaik dunia.
“Kita mahu mereka pulang dengan kepakaran, jaringan, pengalaman dan kemampuan untuk menyumbang kepada industri serta negara,” katanya.
Asyraf Wajdi turut mengingatkan para pelajar bahawa peluang melanjutkan pengajian di universiti terkemuka dunia merupakan satu amanah yang perlu diterjemahkan kepada sumbangan kepada negara.
“Pergilah ke dunia, kuasai ilmu, bina jaringan dan bina karakter. Jangan hanya pulang sebagai graduan universiti terbaik dunia.
“Pulanglah sebagai bakat terbaik yang diperlukan Malaysia,” katanya.
Tahun ini, daripada 600 pelajar tajaan MARA yang akan ke luar negara, 78 pelajar akan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Mesir sejak dihentikan sejak 2019.
Seramai 415 pelajar akan meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi di China, New Zealand, Korea Selatan, Perancis, Australia, Ireland dan Kanada dalam bidang termasuk sains, teknologi, kejuruteraan, perubatan, ekonomi dan komputer. – MalaysiaGazette
















