PUTRAJAYA – Kadar pertumbuhan tahunan Indeks Pelopor (IP) mencatatkan penurunan marginal 0.2 peratus pada Jun 2025, 113.4 mata berbanding 113.6 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
IP ini memberi petunjuk awal tentang titik perubahan dalam kitaran perniagaan dan arah tuju ekonomi bagi tempoh terdekat.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan ini mencerminkan penyusutan dalam empat daripada tujuh komponen,dengan penurunan paling ketara dilihat dalam Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (-27.4%).
Dari segi perbandingan bulanan, IP turut menyusut 0.5 peratus, dipengaruhi oleh penurunan dalam kedua-dua komponen import iaitu Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (-1.0%) dan Import Benar Semi Konduktor (-0.5%).
Meneliti arah aliran jangka panjang terlicin pada Jun 2025, IP kekal berada di bawah 100.0 mata,menjangkakan momentum ekonomi yang mereda.
Prospek ini disokong oleh asas domestik yang kukuh namun dipengaruhi oleh cabaran luaran.
Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang mencerminkan prestasi ekonomi semasa meningkat 1.7 peratus kepada 128.2 mata pada Jun 2025 berbanding 126.1 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan ini dipacu oleh pengukuhan kesemua komponen, dengan Nilai Caruman Benar KWSP mencatat kenaikan tertinggi sebanyak 6.1 peratus.
Secara bulanan, IS bertambah 0.4 peratus, disokongoleh Indeks Pengeluaran Perindustrian yang meningkat 0.3 peratus. – MalaysiaGazette
















