Ibu pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, ketika keluar dari perkarangan mahkamah bagi permohonan untuk gali semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UTM, Skudai, Johor, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 25 OGOS 2025.

SHAH ALAM –   Mahkamah Tinggi di sini menetapkan esok untuk membuat keputusan sama ada membenarkan kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, digali semula bagi tujuan bedah siasat kali kedua.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan panjang peguam Datuk Naran Singh yang mewakili ibu arwah, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, selaku pemohon.

Turut berhujah ialah Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Huda Mohd Salehuddin mewakili Ketua Polis Negara (responden pertama) dan Pengarah Pendakwa Selangor, Datin Kalmizah Salleh bagi pihak Peguam Negara (responden kedua).

Kata Bhupindar, beliau memerlukan masa meneliti dokumen serta rakaman audio-video yang difailkan, sebelum keputusan rasmi diumumkan.

Dalam prosiding panjang hari ini, Naran mendedahkan pihak pemohon menyerahkan rakaman perbualan dengan seorang individu yang mendakwa mengetahui keadaan sebenar sebelum Syamsul Haris rebah ketika latihan di Pulau Tiran Corot pada 28 Julai lalu.

“Rakaman itu telah dimuat turun ke dalam pemacu USB dan turut ditranskripkan. Kandungan perbualan mendedahkan butiran penting tentang insiden tersebut. Namun identiti saksi, yang kami gelar sebagai ‘Individu A’, tidak dapat diumumkan sekarang atas faktor keselamatan,” hujahnya.

Peguam, Naran Singh bercakap pada media selepas selesai mendengar permohonan untuk gali semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UTM, Skudai, Johor, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 25 OGOS 2025.

 

Beliau memohon supaya rakaman hanya didengar oleh hakim di dalam kamar bersama Peguam Negara, Peguam Persekutuan serta peguam pemohon.

Naran turut menekankan keperluan bedah siasat kedua dengan merujuk kepada gambar jasad arwah yang dirakam keluarga sebelum dikebumikan.

“Kami melihat kesan lebam pada dada, pendarahan dari hidung dan mata kanan lebam hitam. Kecederaan ini bercanggah dengan laporan awal yang tidak menyebut mengenainya.

“Hanya pakar forensik bebas dapat mengesahkan sama ada kecederaan itu berpunca daripada faktor semula jadi atau hentakan objek tumpul,” tegasnya.

Mahkamah juga dimaklumkan laporan polis berhubung kematian Syamsul Haris telah dibuat pada 31 Julai namun menurut Naran, sehingga kini pegawai Palapes yang berada bersama arwah sewaktu latihan masih belum dipanggil memberi keterangan.

“Ini menimbulkan persoalan sama ada siasatan dilakukan secara menyeluruh atau sebaliknya. Seolah-olah ada pihak yang cuba melindungi menyembunyikan sesuatu,” dakwanya.

Hakim juga menegur kelemahan dalam laporan bedah siasat awal yang tidak menyertakan gambar jasad.

“Itu perkara asas. Kalau mahu buat afidavit, gambar post-mortem mesti ada. Mengapa tiada? Mereka tidak menafikan kewujudan gambar, jadi kenapa tidak dimasukkan?” soal beliau.

Beliau turut mempersoalkan penggunaan istilah ‘premature’ atau ‘peramatang’ yang sering dikemukakan pihak responden.

Allahyarham Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram.

Jenazah kemudian dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu, Selangor.

Ibu mangsa memfailkan permohonan untuk menggali semula kubur anaknya bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan serta mencadangkan agar prosiding inkues dibuka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast