KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyantuni Ahmad Fadli Baharudin, seorang pelajar asnaf yang akan melanjutkan pengajian ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar, Negeri Sembilan tidak lama lagi.
Melalui Program Ziarah Kasih Simpan SSPN yang diadakan pada 2 Ogos lalu, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim turut menyerahkan bantuan kepada Ahmad Fadli di kediamannya di Taman Gasing, Jejawi, Perlis.
Ia melibatkan sumbangan wakalah zakat berjumlah RM2,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime bagi membantu meringankan beban pelajar tersebut untuk menampung kos pengajian kelak.
Selain itu, Kit Kasih PTPTN berupa sumbangan keperluan harian turut disampaikan kepada Ahmad Fadli.
“Kami amat berbesar hati dapat membantu saudara Ahmad Fadli dalam meneruskan pengajian. Ini membuktikan komitmen kami dalam menyokong pelajar yang berpotensi dan berbakat untuk terus maju dalam kehidupan.
“Menerusi Program Ziarah Kasih Simpan SSPN, PTPTN berpeluang bukan sahaja menyantuni keluarga kurang berkemampuan, malah turut membawa keceriaan kepada keluarga di samping memberi dorongan kepada pelajar agar terus tekun menimba ilmu.
“PTPTN juga berharap agar masyarakat lebih prihatin terhadap keperluan komuniti sekeliling dan pada masa yang sama mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak supaya lebih ramai keluarga dapat dibantu untuk menikmati akses pendidikan dan peluang yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Fadli berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dengan situasi ibu yang sedang terlantar sakit serta tidak mampu untuk bekerja manakala bapanya telah meninggal dunia.
Meskipun begitu, semangat dan dedikasi beliau untuk berjaya dalam hidup tidak pernah pudar.
Beliau telah mendapat keputusan cemerlang di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu dengan memperoleh 7A dan akan melanjutkan pengajian di IPG Kampus Raja Melewar.
Menurut Norliza, penabungan melalui Simpan SSPN menawarkan pelbagai manfaat dan keistimewaan kepada masyarakat Malaysia seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.
Tambahnya, PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited dalam meningkatkan pelaksanaan program-program CSR terutamanya dalam aspek pendidikan demi pembangunan anak bangsa selari dengan moto PTPTN, Peluang Kejayaan Anda dan tagline PTPTN Prihatin: Kami Kongsi, Kami Bantu. -MalaysiaGazette
















