KOLEJ kediaman universiti bukan sekadar tempat berteduh bagi mahasiswa, tetapi lebih daripada itu. Ia merupakan sebuah ruang pembentukan sahsiah, pembangunan kepimpinan, dan wadah melahirkan generasi berilmu yang seimbang dari segi akademik serta peribadi. Namun begitu, imej murni ini sering kali tercalar apabila isu buli kembali menghantui kehidupan mahasiswa. Persoalannya, adakah kolej kediaman yang sepatutnya menjadi rumah kedua mahasiswa sedang dibiarkan berubah menjadi medan ketakutan?
Sejak tahun 2014 hingga 2025, sebanyak 31 kes buli telah direkodkan di universiti awam, melibatkan bentuk fizikal, mental dan juga siber. Walaupun angka ini kelihatan kecil
berbanding jumlah keseluruhan mahasiswa, satu kes buli sahaja sudah cukup untuk merosakkan keyakinan pelajar, malah boleh meninggalkan parut psikologi yang mendalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menyifatkan budaya buli dan samseng ini sebagai “satu kegilaan” yang tidak boleh dikompromi. Tambahan pula, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir pula menegaskan dasar zero tolerance terhadap buli di kampus, dengan memperkenalkan sistem pelaporan yang lebih selamat, peningkatan kawalan keselamatan, serta program kesedaran.
Malah, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut pernah mengingatkan bahawa isu buli bukan perkara kecil kerana ia mampu merosakkan modal insan yang menjadi harapan negara. Jelaslah bahawa isu ini bukan sahaja mendapat perhatian masyarakat umum, tetapi turut menjadi fokus perdana kepimpinan negara.
Tragedi buli di sekolah: Kes Zara Qairina sebagai peringatan
Pada 16 Julai 2025, negara dikejutkan dengan kematian tragik pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir, yang ditemui terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah di Papar, Sabah. Kematiannya dikaitkan dengan unsur buli, meskipun siasatan masih berlangsung. Situasi ini disifatkan sebagai kegagalan sistem pendidikan dalam melindungi pelajar pada
peringkat paling awal.
Buli di peringkat universiti
Buli bukan sahaja berlaku di sekolah, ia juga telah terbukti menjadi ancaman pada peringkat universiti. Pada tahun 2017, seorang kadet di Universiti Pertahanan Nasional
Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, didera secara fizikal dalam dorm, serta ditekap dengan seterika wap, hanya kerana dituduh mencuri komputer riba. Tragedi itu
berakhir dengan kematian beliau, dan beberapa pelajar didakwa atas tuduhan pembunuhan.
Antara punca berlakunya buli termasuklah salah faham budaya senioriti, tekanan akademik yang dialihkan kepada junior, dan ketiadaan mekanisme pengawasan yang
berkesan. Ada juga yang beranggapan buli sebagai ‘tradisi’ atau cara mendidik semangat lasak. Namun hakikatnya, tradisi ini hanya merosakkan reputasi institusi dan menghancurkan keyakinan mahasiswa. Buli tidak mendidik, sebaliknya ia melemahkan potensi. Ia tidak melahirkan keberanian, tetapi menanam trauma. Justeru, normalisasi budaya ini harus dihentikan.
Kolej Kediaman: Wadah sahsiah dan jati diri
Sebagai pengerusi Majlis Yang Dipertua Desasiswa (MYDP) Universiti Sains Malaysia, saya yakin bahawa kolej kediaman harus dilihat sebagai “tapak semaian” mahasiswa. Di sinilah bermulanya pengalaman sebenar hidup bermasyarakat, seperti belajar berkongsi ruang, memupuk sikap toleransi, melatih kepimpinan, dan menggilap potensi diri melalui program-program berimpak tinggi.
Penglibatan dalam kepimpinan pelajar melalui pertubuhan pelajar, malah sekecil perkara seperti berdiskusi bersama rakan sebilik, sebenarnya menjadi medium pembentukan
nilai-nilai seperti empati, hormat-menghormati, dan semangat kebersamaan. Inilah wajah sebenar kolej kediaman, bukan tempat lahirnya pembuli.
Kolej kediaman tapak pemerkasaan
Sebagai mahasiswa dan pemimpin kolej, beberapa langkah praktikal boleh dilaksanakan:
1. Saluran pelaporan sulit dan selamat
Mahasiswa perlu diberi ruang untuk melapor kes buli tanpa rasa takut dibalas dendam. Saluran digital melalui Majlis Perwakilan Kolej Kediaman, atau berhubung
terus dengan pihak pengurusan kolej boleh dimanfaatkan dengan sebaiknya.
2. Sokongan psikologi
Buli sering meninggalkan kesan trauma. Oleh itu, kaunselor universiti dan pihak pengurusan perlu proaktif dalam menyediakan sesi kaunseling, sokongan emosi dan
rehabilitasi.
3. Tindakan tegas dan konsisten
Dasar universiti perlu jelas: tiada kompromi untuk pembuli. Hukuman harus bersifat mendidik, tetapi tegas agar menjadi pengajaran kepada semua.
Refleksi diri, fokus bina potensi kendiri
Kolej kediaman universiti seharusnya menjadi “rumah kedua” yang melahirkan mahasiswa berpotensi besar, bukannya melahirkan pembuli. Saya menyeru semua warga
universiti seluruh negara untuk bersama-sama memperjuangkan budaya sifar buli. Penekanan perlu diberi kepada Majlis Perwakilan Kolej Kediaman secara amnya, untuk sentiasa bersiap siaga dalam menjamin kesejahteraan mahasiswa yang menginap di kolej kediaman.
Majlis Penghuni Desasiswa (MPD) USM, disusuli sokongan dan dorongan Majlis Penggawa (Pengetua) Desasiswa USM komited dalam membanteras jenayah buli demi memperkukuh sifat kebersamaan serta kemampanan di setiap sudut universiti, selari dengan visi USM iaitu mentransformasikan pendidikan tinggi untuk kelestarian hari esok.
Pada akhirnya, universiti bukan sekadar tempat mencari ilmu, tetapi tempat membentuk insan yang bakal memimpin negara. Dan di sinilah, di kolej kediaman, bermulanya pembentukan mahasiswa berpotensi, bukan pembuli.
Jaz Zairil Abdul Jamil,
Pengerusi Majlis Yang Dipertua Desasiswa (MYDP) USM
















