Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 26 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa 1 Julai lalu memberi kesan langsung kepada sektor hiliran industri sawit, khususnya oleokimia.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, antara terkesan ialah dua produk bahan mentah oleokimia iaitu minyak isirung sawit mentah dan minyak isirung olein, yang kini dikenakan SST pada kadar lima peratus.

“Berdasarkan semakan kementerian, kedua-dua bahan mentah itu adalah input utama dalam pengeluaran produk oleokimia dan bukan produk akhir yang sepatutnya dikenakan cukai.

“Justeru, kementerian telah mengemukakan permohonan pengecualian cukai kepada Kementerian Kewangan Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Foong Hin berkata demikian ketika menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH–Seputeh) yang meminta penjelasan mengenai kesan SST kepada industri sawit serta usaha kerajaan mengekalkan daya saing sektor berkenaan di pasaran antarabangsa.

Selain cadangan pengecualian SST, kerajaan turut menilai beberapa pelepasan cukai ke atas perkhidmatan kritikal dalam industri bagi mengurangkan tekanan kos kepada pemain sektor berkenaan.

“Antara usaha kementerian ialah memastikan industri sawit kekal mampan melalui pelaksanaan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), pembangunan sistem kebolehjejakan serta pematuhan kepada standard hak pekerja, keselamatan dan perundangan semasa,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan teknologi baharu seperti dron, kecerdasan buatan (AI), pengimejan satelit dan sensor dalam pertanian tepat juga diperluas bagi meningkatkan produktiviti, mengoptimumkan penggunaan sumber serta mengurangkan kos operasi.

“Kementerian melalui MPOB turut memberi penekanan kepada penyelidikan dan inovasi termasuk pembangunan varieti baharu bahan tanaman sawit melalui kaedah bioteknologi, pembiakan dan pengklonan.

“Inovasi Palm Series (PS) misalnya mampu meningkatkan hasil, kualiti serta ketahanan terhadap perubahan iklim,” jelasnya.

Selain itu, katanya, diversifikasi produk sawit bernilai tambah tinggi seperti oleokimia, biofuel dan produk kesihatan berasaskan tocotrienol terus diperkasa.

Manakala usaha diplomasi perdagangan dipertingkat melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bagi memperkukuh akses pasaran minyak sawit Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast