KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian empat negeri di bawah gabungan State Government Four (SG4) iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang menolak Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar 2025 atau Urban Renewal Act (URA) 2025 secara total.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pendirian itu secara langsung menafikan kenyataan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mendakwa RUU berkenaan telah mendapat persetujuan negeri-negeri menerusi mesyuarat Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT).
“Negeri-negeri SG4 secara rasmi menolak RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025. Maka, Perikatan Nasional sebulat suara menyokong pendirian dan kenyataan yang telah dibuat oleh Menteri Besar empat negeri ini.
“Oleh itu, dakwaan KPKT bahawa RUU ini mendapat sokongan adalah tidak benar,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Takiyuddin (PN-Kota Bharu) turut membangkitkan isu tafsiran ‘pihak berkuasa negeri’ dalam RUU tersebut yang disifatkannya bercanggah dengan peruntukan sedia ada dalam Akta Pengambilan Balik Tanah.
“Definisi pihak berkuasa negeri dalam URA bagi Wilayah Persekutuan adalah Menteri KPKT. Namun dalam Akta Pengambilan Balik Tanah, pihak berkuasa negeri merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong. Ini satu percanggahan yang jelas,” katanya.
Beliau menegaskan PN akan menolak sekeras-kerasnya pembentangan RUU tersebut kerana wujud banyak kekeliruan serta kelemahan dalam proses libat urus dan penerangan oleh pihak kerajaan.
“Jika kerajaan mahu membentangkannya semula di masa akan datang, perlu ada rundingan semula. Sekarang ini, proses libat urus tidak menyeluruh, penerangan tidak jelas dan terlalu banyak kekeliruan yang masih belum diperjelas,” ujarnya.

Tambah beliau, bantahan terhadap RUU itu bukan sahaja datang daripada kerajaan negeri, malah turut disuarakan oleh pemaju perumahan dan agensi pembangunan yang mempertikaikan beberapa peruntukan termasuk tempoh 30 tahun dalam akta tersebut.
“Bayangkan, selepas 30 tahun baru habis bayar hutang, tiba-tiba bangunan dirobohkan. Sudah tentu ini menimbulkan bantahan meluas daripada rakyat, pemaju, dan agensi terlibat,” katanya.
Menurut Takiyuddin, jika RUU itu tetap dibawa ke bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, PN akan meminta supaya undian belah bahagi diadakan.
Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen termasuk dari blok kerajaan mendesak supaya bacaan kedua dan ketiga RUU PSB di Dewan Rakyat, esok ditangguhkan sehingga semua isu dan kebimbangan berkaitannya ditangani secara menyeluruh.
Semalam, Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) juga menggesa kerajaan supaya tidak tergesa-gesa membentangkan RUU itu dan memperhalusi perkara tersebut dengan bijaksana dan inklusif.
Cadangan undang-undang itu dipacu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menggantikan peraturan serta undang-undang lama yang mengawal pembangunan semula kawasan bandar daif.
Untuk rekod, RUU URA dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, pada 21 Ogos lalu.
Bacaan kedua dan ketiga dijadualkan esok dan Kor Ming sebelum ini berkata ia menandakan hala tuju baru dalam memastikan pembangunan bandar di Malaysia kekal mampan, maju, makmur dan inklusif. – MalaysiaGazette
















