PEKAN – Tiga individu termasuk pasangan suami isteri diberkas dalam dua serbuan berasingan yang dijalankan polis di Kampung Geylang dan Kampung Pelangkah di sini kelmarin selepas dipercayai terbabit kegiatan pengedaran dadah.
Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, serbuan bermula 7 malam itu turut menemui lebih satu kilogram dadah jenis syabu dan pil yaba.
“Serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Geylang ke atas suspek pertama iaitu lelaki warga tempatan berusia 41 tahun telah menjumpai serangkai kunci peti besi dan alat kawalan jauh kereta.
“Pemeriksaan di dalam peti besi tersebut menjumpai sebungkus plastik warna putih mengandungi 25 paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan kejernihan disyaki dadah jenis syabu seberat 831.90 gram.
“Turut ditemui beg bercorak bunga warna kehijauan dan kehitaman dengan satu paket plastik merah jambu dan lapan paket plastik warna biru di mana setiap paket masing-masing mengandungi pil disyaki dadah jenis pil yaba dengan berat 201.56 gram,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan hari ini.

Beliau berkata, hasil penemuan terbabit membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah Kampung Pelangkah dan menahan sepasang suami isteri masing-masing berusia 48 tahun dan 28 tahun dipercayai turut terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah.
Mohd Zaidi berkata, suspek pertama mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah, suspek kedua mempunyai 19 rekod lampau berkaitan dadah dan satu kes jenayah manakala suspek ketiga mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah.
Hasil ujian air kencing ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis methamphetamin.
Keseluruhan berat dadah yang dijumpai dianggarkan 1.033 kilogram (kg) dengan nilai rampasan dianggarkan RM32,020.00. Dianggarkan dadah ini boleh dibekalkan kepada 2,066 orang penagih dalam sehari.
“Ketiga-tiga mereka direman selama enam hari sehingga 30 Ogos dan kes bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” kata Mohd Zaidi.
Beliau berkata, polis juga sedang membuat siasatan lanjut terhadap suspek yang ditangkap bagi tindakan sitaan harta dengan tujuan melumpuhkan aktiviti berkaitan dadah. – MalaysiaGazette
















