Ibu pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, hadir bagi mendengar permohonan untuk gali semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UTM, Skudai, Johor, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 26 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Proses penggalian semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin akan dilakukan pada Jumaat ini.

Ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun mendedahkan sebentar tadi, proses itu dijadualkan bermula jam 8 pagi.

“Penggalian semula kubur Syamsul Haris ditetapkan pada 29 Ogos (Jumaat) pada 8 pagi,” katanya kepada media sebentar.

Sebelum ini, Ummu Haiman menzahirkan harapan supaya kubur anaknya digali semula dalam tempoh 48 jam selepas perintah mahkamah dikeluarkan semalam.

Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur Allahyarham yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor digali semula.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Ummu Haiman.

Allahyarham Syamsul Haris yang berusia 22 tahun  meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram sebelum dikebumikan pada 29 Julai.

Sementara itu, peguam keluarga, Datuk Naran Singh berkata keputusan mahkamah itu memberi sinar baharu dalam usaha menuntut keadilan.

“Sekarang ia sudah diluluskan. Harapan kami hanya satu agar kebenaran terbukti dan keadilan berpihak kepada yang sepatutnya.

“Kita lega juga dengar apabila siasatan kini diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Klasifikasi (D9) Bukit Aman,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast