parlimen
Kamarul Zaman Yusoff

KUALA LUMPUR – Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr. Kamarul Zaman Yusoff tetap perlu membayar ganti rugi RM400,000 kepada Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berhubung dua hantaran fitnah dalam laman sosial Facebook, lapan tahun lalu.

Perkara tersebut ditentukan selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan beliau untuk menggantung pembayaran ganti rugi kepada ahli politik itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Avinder Singh Gill memutuskan demikian selepas meneliti hujahan yang dikemukakan oleh peguam-peguam Mohd. Khairul Azam yang mewakili Kamarul Zaman dan Sangeet Kaur Deo bagi pihak Hannah.

Sementara itu, Mohd. Khairul Azam ketika ditemui wakil media berkata, pihak-pihak telah mengemukakan hujahan sama ada terdapat atau tidak keadaan istimewa untuk perintah penggantungan bayaran ganti rugi.

“Mahkamah telah membuat penilaian maksimum dan mendapati tidak wujud keadaan istimewa melayakkan penggantungan diberikan,” ujarnya selepas prosiding yang dijalankan secara dalam kamar.

Mohd. Khairul berkata, oleh yang demikian, perintah penghakiman Mahkamah Tinggi sebelum ini yang mengarahkan anak guamnya membayar ganti rugi, berkuasa kuasa.

Sementara itu, Sangeet berkata, permohonan Kamarul Zaman untuk menggantung bayaran ganti rugi tidak dibenarkan dan permohonan itu telah ditolak dengan kos RM2,500.

Pada 30 Mei lalu, Kamarul Zaman diperintah membayar ganti rugi RM400,000 kepada Hannah berhubung dua hantaran fitnah tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aliza Sulaiman memutuskan demikian selepas membenarkan saman fitnah yang dikemukakan Hannah terhadap Kamarul Zaman dan mendapati Menteri Belia dan Sukan itu berjaya membuktikan kesnya.

Berdasarkan saman yang difailkan pada 2022, Hannah selaku plaintif mendakwa Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 Mei dan 17 Mei, 2017 bahawa beliau mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.

Pensyarah itu turut memetik biografi Hannah “Becoming Hannah: A Personal Journey” bagi memacu agenda Kristian dan turut mendakwa beliau berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.

Sementara dalam kenyataan pembelaannya, Kamarul Zaman berkata kedua-dua hantaran Facebooknya tidak berunsur fitnah dan mempunyai alasan yang kuat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast