Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Wang simpanan bertahun-tahun lesap, harapan menjejakkan kaki ke Tanah Suci berkecai.

Itu nasib malang yang menimpa puluhan jemaah selepas terpedaya dengan tawaran pakej umrah murah oleh sebuah syarikat pelancongan, hingga mengakibatkan kerugian lebih RM500,000.

Menurut Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), seramai 92 mangsa tampil membuat aduan kepada pihaknya selepas wang deposit dan bayaran penuh mereka tidak pernah membawa mereka ke Mekah, sebaliknya hilang tanpa khabar.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kesemua mangsa sudah membuat laporan polis, namun aduan mereka diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (RLA).

“MHO mewakili 92 mangsa memohon kerjasama dan pertimbangan PDRM agar siasatan menyeluruh dibuat berkaitan laporan mereka.

“Kes ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan hanya soal wang, tetapi soal maruah dan impian umat Islam yang mahu menunaikan ibadah,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas membuat aduan kepada JSJK Bukit Aman semalam.

Hishamuddin berkata, salah seorang mangsa yang benar-benar percaya tawaran syarikat terbabit kerana pakej umrah berharga RM6,950 dilihat amat berpatutan berbanding harga pasaran.

“Seorang mangsa, sudah pun membuat persiapan rapi. Beliau membayar deposit sebanyak RM1,500 pada Mei 2024, menghadiri kursus umrah, mengambil vaksin wajib, malah merancang berangkat bersama suami dan adik perempuannya.

“Namun, dua bulan sebelum tarikh penerbangan, syarikat menuntut bayaran penuh hampir RM19,000 tanpa memberikan maklumat jelas. Hanya selepas didesak, maklumat penerbangan dihantar melalui WhatsApp. Itupun tidak pernah menjadi kenyataan,” katanya.

Menurut beliau, mangsa itu akhirnya sedar ditipu selepas tular di media sosial kisah 370 jemaah terkandas pada Januari 2025 kerana syarikat sama gagal menerbangkan mereka ke Mekah.

“Selepas itu, beliau dan keluarganya cuba menghubungi syarikat berkenaan, tetapi gagal. Bayangkan perasaan mangsa yang sudah menyiapkan segalanya untuk umrah, akhirnya ditinggalkan begitu sahaja,” ujarnya.

Tambah beliau, ada juga kes lebih menyayat hati apabila seorang lagi mangsa dikenali sebagai Nani kehilangan RM84,000 selepas mendaftar seramai 18 ahli keluarga termasuk warga emas dan kanak-kanak.

“Keluarga ini memang menabung untuk berangkat bersama-sama. Tetapi impian itu hancur. Mereka kini hanya mahu hak mereka ditegakkan dan wang dipulangkan,” katanya.

Menurut Hishamuddin, jumlah kerugian daripada 92 aduan yang diterima MHO sahaja mencecah RM505,150, tetapi angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana ramai mangsa lain masih belum tampil.

Katanya, penipuan pakej umrah bukan isu baharu malah pada Januari lalu, polis pernah menahan sepasang suami isteri dan enam pekerja mereka kerana disyaki terbabit dalam skim penipuan serupa yang menyebabkan kerugian RM2.1 juta membabitkan 379 mangsa.

MHO menegaskan pihak berkuasa perlu memandang serius isu ini kerana ia bukan sekadar jenayah komersial, tetapi melibatkan impian dan emosi umat Islam.

“Ramai yang sanggup menyimpan bertahun-tahun untuk ke Tanah Suci. Apabila wang itu lesap, mereka bukan sahaja rugi harta, malah trauma. Kami harap pihak polis dapat mengambil langkah segera untuk melindungi mangsa seterusnya dan memastikan pelaku diheret ke muka pengadilan,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast