Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri. Foto SYADILA AMARI, 15 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Saluran media sosial YouTube bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menghimpunkan lebih 100,000 pelanggan serta ribuan rakaman kuliah dan pengajian beliau telah dipadamkan.

Menurut Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, berdasarkan penelitian awal pasukan medianya, besar kemungkinan sistem pengesanan automatik YouTube telah tersalah tafsir dengan mengaitkan saluran rasminya itu kepada iklan video tipuan (AI-generated scam ads).

Jelasnya, iklan itu menggunakan wajah beliau tanpa kebenaran, khususnya untuk mempromosikan produk ubatan yang meragukan.

“Saya percaya isu ini berpunca daripada kelemahan algoritma pengesanan kandungan (content moderation system) yang tidak dapat membezakan iklan video tipuan yang semakin kerap mengeksploitasi wajah tokoh awam melalui teknologi kecerdasan buatan (deepfake),” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sehubungan itu, menurut Zulkifli, pihaknya telah mengemukakan rayuan rasmi segera berhubung penutupan saluran YouTube itu dan kini sedang menantikan maklum balas lanjut daripada pihak berkenaan.

Dalam masa sama, katanya, sebagai alternatif, beliau telah membina saluran YouTube baharu dikenali sebagai Al Inarah dan menjemput orang ramai melanggannya di  https://www.youtube.com/@appalinarah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast