KUANTAN – Cadangan DAPSY yang mahu pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) aliran sains dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 diberi kemasukan automatik ke universiti awam dengan kursus pilihan pertama ditolak sebulat suara oleh Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang.
Ketua Penerangannya, Mustaqim Zakaria berkata, cadangan tersebut bukan sahaja tidak berasas, malah menunjukkan kegagalan memahami prinsip keadilan pendidikan negara.
Menurut Mustaqim, reformasi pendidikan yang sebenar mesti merangkumi semua pelajar STPM, matrikulasi, asasi, aliran sains mahupun sastera dan bukannya untuk kelompok tertentu sahaja.
”Apakah wajar jika hanya pelajar sains STPM diberi laluan VIP, sedangkan ramai pelajar aliran lain juga cemerlang dengan PNGK penuh? Jika ini yang dimaksudkan sebagai reformasi oleh DAPSY, jelas sekali ia bukan reformasi, tetapi diskriminasi.
”Realiti sistem pendidikan kita lebih luas di mana Malaysia mempunyai pelbagai saluran kemasukan STPM, Matrikulasi, Asasi, Diploma dan semua diiktiraf. Mengangkat hanya satu saluran seolah-olah menafikan kecemerlangan pelajar lain.
”Apakah DAPSY mahu menafikan pelajar matrikulasi yang juga meraih CGPA 4.0? Reformasi yang adil tidak boleh sempit dan bersifat eksklusif,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sebaliknya kuota kemasukan universiti awam bukan ditetapkan sewenang-wenangnya, tetapi hasil daripada pertimbangan keseimbangan kaum, kapasiti kursus dan keperluan tenaga kerja negara.
Malah jika cadangan DAPSY ini diterima, ia hanya akan mengganggu kuota yang telah lama dipersetujui, sekali gus merampas peluang pelajar lain yang sama layak.
Rasionalnya, gred penuh bukan lesen automatik kerana kecemerlangan akademik tidak bermaksud automatik sesuai untuk semua bidang.
Ini kerana da kursus kritikal seperti perubatan, undang-undang, dan pendidikan yang memerlukan penilaian tambahan temu duga, ujian aptitud dan kriteria lain.
Mustaqim berkata jika semua diberi kursus pilihan pertama tanpa tapisan, ia hanya akan menjejaskan integriti sistem universiti dan kualiti profesion.
Pemuda UMNO Pahang turut menyifatkan cadangan DAPSY bercanggah dengan amalan global, bahkan universiti terkemuka dunia pun tidak memberi jaminan automatik kursus pilihan pertama hanya kerana cemerlang akademik.
”Mereka menilai kesesuaian program, minat, potensi dan kapasiti. Jadi cadangan DAPSY ini bukan reformasi, tetapi retorik murahan yang gagal menilai realiti.
”Cadangan DAPSY ini jelas satu bentuk politik dangkal dan yang hanya merugikan negara. Pemuda UMNO Negeri Pahang menegaskan, sistem pendidikan bukan ruang untuk eksperimen.
”Jangan sesekali cuba mengganggu keseimbangan yang telah lama dibina dengan adil, dan jangan sekali-kali perjuangkan satu kelompok sambil menafikan hak kelompok lain,” katanya.
Beliau menegaskan sistem pendidikan negara bukan tempat untuk retorik sempit dan barisan Pemuda UMNO akan berdiri di barisan hadapan menentang sebarang cubaan tidak masuk akal yang boleh menggugat keadilan, merosakkan masa depan pelajar lain serta mencalar integriti pendidikan negara. – MalaysiaGazette
















