Seorang wanita berusia 41 tahun bertindak nekad naik ke pentas utama dan mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Tahun 2025 di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Ipoh. Foto, ANIQ NABILAFIQ ANUAR 31 OGOS 2025.

IPOH – Polis menahan seorang wanita selepas bertindak naik ke pentas utama dan mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Tahun 2025 di hadapan Dewan Bandaran di sini hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.20 pagi sewaktu lagu Kebesaran Negeri Perak sedang berkumandang.

Beliau berkata, suspek warga tempatan berusia 41 tahun itu naik melalui bahagian tepi pentas sebelum berjaya ditahan oleh anggota keselamatan yang bertugas di lokasi.

“Tindakan pantas pasukan keselamatan berjaya menahan wanita berkenaan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah selain rekod rawatan psikiatri dan kini berada di bawah pengawasan pakar.

“Bagaimanapun, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya didapati negatif,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Hisam berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.

Justeru beliau memberi amaran tegas agar orang ramai menghormati majlis rasmi kenegaraan dan tidak melakukan perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam atau menimbulkan ancaman terhadap keselamatan pemimpin dan orang kenamaan.

Terdahulu, insiden berkenaan yang berlangsung sekitar 40 saat itu membuatkan tetamu dan orang ramai yang hadir terkejut di samping ada yang menganggap ia sebahagian daripada gimik persembahan sambutan.

Wanita tersebut pada awalnya dilihat berdiri di barisan belakang di atas pentas utama sebelum dilihat berlari ke arah Sultan Nazrin yang sedang berdiri.

Dia yang mengenakan kemeja dan seluar warna hitam kemudiannya dilihat mendekati dan cuba menarik dan memeluk baginda dari arah belakang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast