Mohd Khalid Ismail

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta semua pihak beri ruang untuk menjalankan siasatan dengan baik berhubung kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin pada 27 Julai lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat daripada hospital dan mengumpul apa sahaja hasil siasatan berkait kes terbabit.

“Setakat ini, maklumat yang diterima hanya hearsay (khabar angin) semata-mata. Kita masih belum terima lagi laporan dan saya tidak mahu ke depan daripada makluma yang kita dengar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Program Diploma Kepolisan (MQA) dan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (JPK) PDRM di Auditorium, Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu hari ini.

Mengulas dakwaan peguam, Datuk Naran Singh Ara Singh mengenai proses bedah siasat kedua kira-kira tujuh jam telah menemukan beberapa kesan kecederaan trauma mencurigakan pada jasad, Mohd Khalid berkata, pihaknya perlu mendapatkan laporan penuh terlebih dahulu.

“Beri ruang kepada pihak polis menyiasat dengan baik dan sempurna. Kita (polis) akan kumpul apa juga hasil siasatan terbabit dan akan beri penerangan lanjut,” jelasnya.

Pada Jumaat lalu, jenazah allahyarham digali semula dan dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Kuala Lumpur bagi proses bedah siasat kedua.

Proses autopsi dijalankan tiga pakar IPFN bermula kira-kira 9 pagi Sabtu lalu dan dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu di Semenyih pukul 6.09 petang.

Pada 19 Ogos lalu, Ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mengemukakan permohonan menggali semula kubur bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan untuk memulakan prosiding inkues bagi menyiasat kematian anaknya.

Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor dan dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast