Ketua Pengarah NFCC, Dato' Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil (lima dari kanan) bersama Pengarah BPRM SPRM, Norkhafizin Isa (lima dari kiri) bergambar kenangan sempena lawatan NFCC ke BPRM, SPRM di Putrajaya baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah antara agensi terawal yang memberikan maklumbalas kepada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dalam usaha kerajaan untuk memusatkan pengurusan, pelucuthakan termasuk informasi berkaitan harta sitaan dan lucut hak di peringkat nasional.

Pengarah Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM) SPRM, Norkhafizin Isa berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah NFCC, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil dalam lawatan ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 19 Ogos lalu.

Beliau berkata, lawatan itu adalah susulan daripada keputusan Jemaah Menteri pada 19 Mei 2025 yang menetapkan NFCC sebagai agensi pusat pengurusan harta disita dan dilucut hak oleh semua agensi penguatkuasaan di Malaysia.

Tujuan lawatan NFCC ialah untuk mengenalpasti dan memahami prosedur sitaan, penyimpanan serta pelucuthakan harta sitaan melalui sistem dalaman digunapakai SPRM selain mendapatkan input dalam proses membangunkan sistem dalaman NFCC yang boleh diselaraskan dengan agensi-agensi yang menguruskan harta sitaan terutamanya SPRM.

“Pihak NFCC berterima kasih atas pembentangan, maklumbalas dan kerjasama diberikan oleh SPRM dalam usaha pihak NFCC membangunkan sistem bagi pengurusan harta disita dan dilucuthakan.

“Kami akan terus memberikan bantuan serta sokongan kepada NFCC berhubung perkara ini,” katanya.

Dalam sesi tersebut, Ketua Cawangan Aplikasi Rekod (CARe) BPRM, Khairul Ridzuan Ikhsan telah memberikan taklimat berkaitan modul pengurusan harta sitaan melalui sistem teras SPRM iaitu sistem Corruption Reporting Information System (CRIS) dan Exhibits Management System (EMS).

Wakil Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM turut hadir memberikan penerangan berkaitan proses sitaan dan pelucuthakan kepada delegasi NFCC. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast