KUALA LUMUR – Pandangan Pas bersifat eksklusif atau ‘membolot agama’ tidak tepat.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, realitinya Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) dan Lajnah Perpaduan Nasional telah menjadi jambatan perpaduan dengan komuniti bukan Islam sejak sekian lama.
“Program kebajikan, bantuan bencana, khidmat guaman asas, pemeriksaan kesihatan komuniti, dan kelas tuisyen anak-anak masyarakat rentan telah dilaksanakan tanpa mengira bangsa dan agama. Prinsip kami ialah politik khidmat bukan retorik.
“Imej bersih, integriti dan rekod bebas rasuah adalah modal utama Pas. Pemuda Pas Selangor mengangkat nilai ini melalui tadbir urus telus dalam setiap program,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Datuk Seri Ti Lian Ker bekas Naib Presiden MCA yang menyentuh imej dan pendekatan Pas dalam mendekati masyarakat majmuk baru-baru ini.
Dalam ada itu, Mohamed Sukri mengakui masyarakat tidak boleh ditawan dengan retorik keras.
“Pendekatan kami adalah melalui kebajikan, timbang rasa dan ihsan. Program bakul makanan, pusat khidmat komuniti, tuisyen mualaf dan ziarah tanpa mengira agama sudah pun berjalan secara konsisten.
“Inilah wajah sebenar politik Islam yang prihatin, yang memberi solusi kepada keperluan harian rakyat,” ujarnya.
Selain itu, beliau menafikan tuduhan Pas hanya hadir ketika musim pilihan raya.
Menurutnya, DHPP dan Pemuda Pas Selangor secara konsisten menyertai aktiviti kebudayaan, forum masyarakat majmuk, ziarah rumah ibadat, gotong-royong kejiranan dan pelbagai program kebajikan rentas kaum.
Malah kepimpinan DHPP di peringkat negeri dan kawasan sentiasa bersama menggerakkan khidmat masyarakat membuktikan komitmen sepanjang tahun.
“Kami mengalu-alukan pandangan Datuk Seri Ti Lian Ker dan menjemput beliau serta mana-mana pihak yang prihatin untuk duduk semeja bersama.
“Prinsip kami mudah, tak kenal maka tak cinta. Dialog terbuka adalah jalan terbaik untuk menghapuskan salah faham, memperkukuh kepercayaan serta merangka kerjasama demi rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















