KUALA LUMPUR – Tawaran Pas untuk MCA dan MIC menyertai parti itu walaupun `manis di mulut’ tetapi tidak enak di hati masyarakat Cina dan India selagi Pas tidak mengubah wajah mereka dari konservatif kepada lebih terbuka.
Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, ia lebih-lebih lagi selepas DAP memomokkan pengundi Cina dan India bahawa Pas akan mentadbir negara ini secara `Taliban’.
Selain itu orang Cina dan India juga masih gentar dengan dakwaan DAP berhubung kemunculan gelombang hijau akan memungkinkan Perdana Menteri daripada Pas buat pertama kalinya.
“Maka Pas perlulah menyederhanakan diri melalui permuakatan Perikatan Nasional atau mengubah dasar atau pendekatan politik parti dari penekanan pada agama dan kaum kepada keadilan sosial, kemanusiaan dan kebajikan umat sejagat,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjemput kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu untuk bergabung sambil mengambil maklum kekecewaan mereka kerana dibiarkan tanpa perwakilan dalam kerajaan.
Gesaan Tuan Ibrahim itu susulan beberapa pemimpin MCA dan MIC secara terbuka menyatakan rasa kecewa kerana beranggapan dipinggirkan dalam Kerajaan Perpaduan, malah sekurang-kurangnya tiga MIC negeri turut mengusulkan parti itu keluar daripada BN.
Sementara itu, Lian Ker berkata, secara strategi politik, MIC dan MCA membuat keputusan salah jika memilih bersama Pas kerana kedua-dua parti tersebut akan tenggelam dan hilang undi tradisi mereka.
Menurutnya, keputusan itu mungkin menguatkan Pas tetapi akan melemahkan lagi MCA dan MIC kerana rata-rata pengundi Cina dan India masih belum dapat menerima Pas.
Ia dakwanya, selagi Pas masih berpegang pada pelaksanaan sistem perundangan Islam dalam masyarakat majmuk yang juga akan meletakkan masyarakat bukan Islam di bawah kategori yang lebih rendah dalam bentuk kafir harbi dan kafir zimmi.
“Ini adalah sama dengan nada politik DAP yang mahu menghapuskan kuota bumiputera yang tidak boleh diterima oleh masyarakat Melayu walaupun DAP cuba menutup keaiban politik ini dengan naratif-naratif baharu,” katanya. – MalaysiaGazette
















