Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025 (RUUKP) yang diluluskan oleh Dewan Negara semalam dijangka diwartakan pada akhir tahun ini.

RUU ini diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, akan menjadi sebuah akta induk yang akan diguna pakai oleh semua Pihak Berkuasa Pengawal Seliaan dan Penyeliaan (RSA) dalam memantau aktiviti kredit pengguna di bawah agensi masingmasing.

“RUUKP merupakan manifestasi reformasi berpengaruh untuk memperkukuh perlindungan pengguna dan mengatur semula landskap kredit negara.

“Kerajaan Madani tidak memandang remeh prinsip keadilan dan keterangkuman dalam semua aspek tatakelola demi memastikan kemaslahatan rakyat terjamin. Keyakinan terhadap institusi juga diharap dapat dipulihkan, seperti digagaskan dalam kerangka Ekonomi Madani,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Kewangan berkata, RUU ini akan memberi perlindungan lebih menyeluruh kepada pengguna melalui kawal selia caj keterlaluan dan amalan kutipan hutang yang beretika, sekali gus memperkukuh kawal selia terhadap industri kredit pengguna dan melindungi rakyat daripada amalan kredit yang tidak adil, tidak telus, dan menindas.

Dalam masa yang sama, ia juga mewujudkan kerangka kawal selia yang konsisten untuk pemain industri kredit dan memperkukuh kepercayaan terhadap sistem kewangan negara.

Kementerian Kewangan berkata, RUU ini juga membuka laluan kepada penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP), sebuah badan bebas yang akan mengawasi dan mengawal selia penyedia kredit yang sebelum ini tidak dikawal.

Buat masa ini terdapat enam perkhidmatan kredit pengguna yang tidak dikawal selia oleh mana-mana pihak — termasuk skim beli sekarang bayar kemudian (buy now pay later; BNPL),  pemfaktoran, pajakan, perkhidmatan kutipan hutang, dan pengurusan hutang.

Dengan kelulusan RUUKP, semua perkhidmatan ini akan dikawal selia oleh SKP di bawah Fasa 1 apabila akta ini dikuatkuasakan kelak.

Selain itu, SKP mempunyai empat fungsi utama iaitu menasihati Menteri Kewangan dalam semua perkara berkaitan kredit pengguna; menasihati kerajaan dalam pembentukan dasar kebangsaan berkaitan kredit pengguna; menggalakkan perlakuan yang adil, profesional dan bertanggungjawab oleh semua pemberi kredit dan pemberi perkhidmatan kredit dan; menggalakkan perkembangan industri kredit pengguna yang cekap dan telus.

– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast