Anwar menyampaikan tausiyah (amanat) kepada jemaah tabligh selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sri Petaling, hari ini.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghubungi pemimpin Thailand dan Indonesia susulan pergolakan yang berlaku di kedua-dua negara berkenaan ketika ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, langkah itu akan dilakukan selepas keadaan yang berlaku di kedua-dua negara itu reda dan kembali teratur.

“Saya jumpa Presiden Prabowo Sebianto di Beijing. Dia maklum keadaan tambah baik.

“Kita doakan yang sebaik mungkin untuk Indonesia. Bukan sahaja dengan ASEAN, tapi dengan sahabat, keluarg. Begitu juga perkembangan terakhir di Thailand.

“Kita harap pembentukan kerajaan baru akan disegerakan (di Thailand). Saya, sebaik saja semua teratur, saya akan hubungi mereka segera mungkin,” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Sri Petaling di sini hari ini.

Anwar berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan wartawan berhubung bantahan rakyat Indonesia mengenai perkara tersebut.

Indonesia kini sedang menghadapi pergolakan susulan pemberontakan rakyat, manakala, Thailand pula mengalami krisis kepimpinan berikutan tugas Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra dipecat kerana didapati tidak berintegriti dan melanggar standard etika sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.

Ditanya sama ada krisis yang berlaku di Indonesia itu boleh merebak ke Malaysia kerana ia boleh dianggap sebagai proses bantahan, Anwar berkata, tidak ada isu yang boleh dikaitkan dengannya untuk berlaku di negara ini.

“Dia boleh bantah, kita tidak menghalang, tapi isu apa?

“Elaun menteri potong, Perdana menteri tak ambil gaji. Isu itu tak terpakai. Minyak, itu pun peruntukan kepada rakyat tambah.

“Dan saya dah umumkan yang lain-lain kita boleh kembang dalam belanjawan. Tapi, negara kena aman, kerja kena kuat, ekonomi kena kembang, pelaburan kena masuk. Jangan menjejaskan perhubungan…ini yang terdekat kepada rakyat,” katanya.

Anwar memberitahu, tidak salah untuk rakyat mengutarakan pandangan namun, tidak wajar protes dilakukan dengan cara tertentu.

Beliau turut menegaskan, teguran boleh dibuat tetapi, perlulah dengan cara yang berakhlak dan bukan dengan cara memfitnah.

“Ada orang kata ini mengekang kebebasan, tak betul. Kalau macam fitnah berlaku, sokong Israel, ejen Israel (tuduh) itu semua tak boleh dibiarkan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast