GEORGE TOWN – Lima individu termasuk seorang pengerusi sebuah agensi kerajaan bergelar Datuk direman selama empat hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penjualan tanah pada 2015.
Kesemua mereka yang berusia antara 40-an hingga 50-an terdiri daripada pengerusi berkenaan, adik lelakinya, adik iparnya yang juga isteri kepada lelaki terbabit serta dua pengarah syarikat.
Perintah reman terhadap kesemua mereka dikeluarkan Majistret Noor Idayu Salim bermula hari ini selepas SPRM memohon tempoh reman selama tujuh hari.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan perintah reman selama empat hari bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Sementara itu, peguam yang mewakili Datuk berkenaan, Dr Shamsher Singh Thind berkata, kes itu dipercayai berkaitan isu penjualan tanah pada 2015 yang menurutnya pernah diselesaikan sebelum ini.
Beliau berkata, tanah berkenaan dijual kepada sebuah syarikat yang pada asalnya merupakan syarikat Bumiputera, namun pengarah syarikat itu kemudiannya berubah.
“Siasatan dipercayai membabitkan dakwaan salah guna kedudukan berkaitan urus niaga tanah berkenaan.
“Perkara itu sebelum ini sudah diselesaikan dengan diskaun Bumiputera 10 peratus dikembalikan kepada agensi kerajaan berkenaan.
“Bagaimanapun, pihak berkuasa kini menyiasat aduan baharu yang dibuat pada 17 Ogos lalu, yang didakwa mempunyai perkembangan baharu sehingga menyebabkan siasatan semula dijalankan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding reman hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Media terdahulu melaporkan SPRM menahan lima individu termasuk pengerusi sebuah agensi kerajaan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa membabitkan urusan pelupusan tanah milik agensi kerajaan di bawah sebuah kementerian di negeri ini.
Difahamkan, pengerusi bergelar Datuk berusia 50-an itu dipercayai menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah ketika itu untuk meluluskan penjualan lapan lot tanah di Seberang Perai Selatan pada 2015 kepada sebuah syarikat yang disyaki mempunyai kaitan dengan sekutunya.
Suspek terbabit juga dipercayai menggunakan kedudukannya dengan terlibat dalam meluluskan penjualan tanah tersebut pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran membabitkan nilai kerugian kira-kira RM1.96 juta. – MalaysiaGazette
















