Pasukan polis mengawal ketat bandar Mumbai selepas menerima ancaman letupan bom. foto media sosial

MUMBAI – Polis Mumbai telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas menerima mesej ancaman amaran letupan di seluruh bandar ini oleh pengganas dari Pakistan semasa festival Ananta Chaturdashi pada 6 September.

Mesej itu, yang diterima di nombor WhatsApp rasmi polis trafik yang mendakwa pengebom manusia telah ditempatkan dalam 34 kenderaan di seluruh Mumbai dan bandar itu akan “digegarkan” oleh letupan tersebut.

Mesej itu, yang mendakwa berasal dari pertubuhan ‘Lashkar-e-Jihadi’, juga mengatakan 14 pengganas Pakistan telah memasuki India.

“Polis Mumbai berwaspada, dan keselamatan di seluruh negeri telah dipertingkatkan. Semua sudut ancaman sedang disiasat.

“Kami sentiasa menerima mesej ugutan seperti itu daripada nombor yang tidak dikenali di talian bantuan kami. Selalunya, ia sama ada daripada seseorang yang menghadapi masalah kesihatan mental atau mereka yang berada di bawah pengaruh alkohol,” kata seorang pegawai polis.

Namun, tegasnya, setiap kali menerima mesej sebegitu, pihak polis perlu mengambilnya secara serius dan mengikut protokol yang ditetapkan.

“Jika lokasi tertentu disebut, kami perlu mengosongkan premis dan menjalankan pemeriksaan dengan bantuan skuad pemusnah bom,” kata pegawai itu.

Tetapi, tambahnya, dalam kes ini, mesej itu tidak menyebut lokasi tertentu.

Setakat ini, kata beliau, polis sedang menjejaki nombor berkenaan dan sepatutnya dapat mengenal pasti pengirim tidak lama lagi. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast