KUALA LUMPUR –Gabungan politik di Malaysia tidak boleh mengelak daripada bergabung dengan parti kaum lain jika mahu kekal relevan dan memenangi pilihan raya.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, walaupun ada pihak mendakwa mampu mendapat sokongan dengan hanya bergantung pada sentimen Melayu, realitinya parti politik tetap memerlukan kerjasama rentas kaum.
“Macam kami dalam PH sudah ada semua kaum. Semua kaum bersama, satu perpaduan. Tetapi, itu hak masing-masing untuk membuat apa-apa pengisytiharan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad.
Bekas menteri Kabinet itu mengulas pertanyaan media mengenai kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Muhyiddin Yassin bahawa menjalin kerjasama dengan lebih banyak parti bukan Melayu boleh membantu gabungan tersebut memenangi 15 hingga 22 kerusi tambahan di Parlimen, pada PRU akan datang.
Muhyiddin berkata, unjuran menunjukkan PN boleh menambah sokongan sebanyak dua hingga lima peratus jika ia mengelak pertandingan pelbagai penjuru, dan meluaskan daya tarikan kepada lebih banyak komuniti.
Mujahid berkata, kenyataan Pengerusi PN yang menggelar dirinya sebagai ‘gabungan longgar’ membuktikan bahawa mereka sendiri mengakui tidak memiliki kekuatan dalaman yang cukup untuk menang pilihan raya.
“Itu juga satu pengakuan bahawa mereka perlu membentuk gabungan untuk ada peluang menang dalam pilihan raya akan datang. Jadi, tarikan semata-mata kepada Melayu tidak akan membawa mereka untuk menang Pilihan Raya Umum.
“Itu pengakuan bahawa mereka tidak mempunyai sokongan yang cukup dalam kalangan mereka sendiri. Perkataan longgar itu sendiri memang longgar dan gabungan kami (PH-BN) pula kuat,” ujarnya.
Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan pembangkang berjaya menubuhkan satu gabungan longgar melibatkan 12 parti politik.
Beliau menjelaskan, gabungan pembangkang itu merangkumi parti Melayu, Islam dan Bumiputera seperti Bersatu, Pas, Pejuang serta Putra.
Ia turut dianggotai parti pelbagai kaum seperti Gerakan, MIPP, PPP, Iman, Urimai selain parti progresif tidak berasaskan kaum seperti Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM). – MalaysiaGazette
















