Mohd Kamil Ibrahim

KUANTAN – ”Wahai MIC, jangan khianat kepada Barisan Nasional (BN)! Kami beri kata dua, sama ada setia atau pergi”.

Tindakan wakil MIC menghadiri persidangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), baru-baru ini dilihat satu bentuk pengkhianatan terhadap semangat setia kawan dalam BN.

Ketua Pemuda Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim menegaskan, sikap yang tidak hormat dan pentingkan diri begini tidak boleh dipandang ringan.

”Jangan lupa, banyak kerusi yang dimenangi MIC selama ini adalah hasil ihsan dan pengorbanan UMNO.

”Malah jawatan-jawatan lantikan termasuk di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga lahir daripada semangat setiakawan BN.

”Kalau MIC terus memilih untuk mesra dengan Perikatan Nasional (PN) maka wajar dipertimbangkan untuk dipulangkan semula segala kedudukan itu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jelasnya, BN kukuh sejak merdeka kerana asasnya ialah setia, hormat dan percaya antara parti.

Malah ia terus hidup bukan kerana drama, bukan juga kerana menikam belakang kawan.

”Kalau mahu terus bersama dalam rumah besar ini, hormatilah adabnya. Kalau tidak mampu, lebih baik undur dengan bermaruah.

”Perkuatkan parti masing-masing, jangan sesekali khianati kawan seperjuangan demi nafsu politik semata-mata,” katanya.

Terdahulu Timbalan Ketua Pemuda MIC, K Kesavan menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) sayap Armada Bersatu kalikelapan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam semalam.

PN juga sebelum ini dilaporkan ‘melamar’ MCA dan MIC untuk menyertai mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast