KUALA LUMPUR – Malaysia mencatat sejarah apabila buat julung kalinya kesemua 10 negara ASEAN mencapai kata sepakat untuk melaksanakan ASEAN Smart City Action Plan (ASCAP) 2026–2035, hasil daripada Mesyuarat Tahunan ke-8 Rangkaian Bandar Pintar ASEAN (ASCN8) yang bermula di sini hari ini.
Majlis bersejarah itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming yang juga Presiden UN-Habitat sekali gus mengangkat kepimpinan Malaysia ke pentas global dalam agenda pembangunan bandar pintar dan lestari.
Menurut beliau, ASCN bukan sekadar tentang teknologi moden atau infrastruktur canggih, sebaliknya mesti berteraskan manusia, komuniti dan nilai kemasyarakatan yang mengikat rantau ini.
“Hari ini bukan sekadar pembukaan sebuah mesyuarat, tetapi permulaan perjalanan bersama di mana impian berpadu dan harapan digerakkan untuk menerangi masa depan bandar dan masyarakat kita.
“Sebagai Presiden UN-Habitat, saya percaya ASEAN boleh menjadi contoh kepada dunia bahawa pembangunan bandar bukan sahaja pintar, tetapi juga berperikemanusiaan dan mengutamakan kesejahteraan rakyat. Masa depan bukan sesuatu yang kita ramalkan, ia adalah sesuatu yang kita bina bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian dengan penuh semangat ketika menyampaikan ucaptama perasmian ASCN8 di Hotel Shangri-La hari hari ini.
Mesyuarat ASCN8 berlangsung dari 8 hingga 12 September dengan penglibatan pemimpin serantau, pakar bandar pintar serta pelbagai pihak berkepentingan.
Malaysia menegaskan komitmen untuk memastikan setiap keputusan berpaksikan prinsip tiada siapa dan tiada bandar yang tertinggal di belakang.
Selain mesyuarat rasmi, program ini turut diserikan dengan Smart City Connect Exhibition dan Smart City Expert Talk, platform yang menghubungkan kerajaan, sektor swasta, akademia dan masyarakat awam.
Delegasi juga dijadualkan melawat Putrajaya Command Centre, pusat kawalan bersepadu dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memantau trafik serta keselamatan awam, dan Putrajaya Wetlands, taman buatan manusia terbesar di Asia Tenggara yang menjadi model pemuliharaan berteraskan kelestarian.
Sementara itu dalam sidang media Kor Ming turut menegaskan pencapaian ASCN8 adalah penutup bergaya bagi siri persidangan antarabangsa yang dianjurkan Malaysia sepanjang kepengerusian ASEAN tahun ini.
“Dengan kejayaan ini, kita bukan sahaja menaikkan imej negara sebaliknya mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pembangunan bandar pintar serantau,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan kadar urbanisasi ASEAN kini telah mencecah 370 juta penduduk bandar dan dijangka meningkat kepada 70 peratus menjelang 2050.
Katanya bandar-bandar serantau ketika ini menjana 70 peratus daripada KDNK ASEAN bernilai AS$3.8 trilion namun jelas beliau, kemajuan itu mesti disertai dengan dasar yang adil agar pencakar langit moden tidak terus melindungi penempatan setinggan di bawahnya.
“Bandar pintar bukan semata-mata teknologi. Ia tentang merapatkan jurang antara kaya dan miskin, bandar dan desa, digital dan analog. Kita mahu membina bukan sahaja bandar lebih pintar, tetapi juga bandar yang lebih mesra rakyat, lebih penyayang,” katanya lagi.
Dengan tema ‘Fostering Stronger Cooperation Towards a Common Goal for Smart and Sustainable Urban Development in ASEAN’, Malaysia berkeyakinan keputusan di Kuala Lumpur akan menjadi batu asas penting menuju Komuniti ASEAN 2045 serta visi nasional untuk menjadikan Malaysia sebuah negara pintar menjelang 2040. -MalaysiaGazette
















