KUALA LUMPUR – Polis sedang mengenal pasti pihak yang menghantar mesej ugutan berhubung ancaman terhadap fasiliti gas asli (LNG) milik Petronas di Bintulu, Sarawak.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, ketika ini kes berkenaan masih lagi dalam siasatan dan langkah-langkah memperketat lokasi ancaman sedang dilakukan.
Katanya, berdasarkan ugutan yang diterima ia bukan dituju kepada mana-mana individu sebaliknya, ia terarah kepada fasiliti tersebut.
“Kita masih dalam proses siasatan, kita dalam proses mengenalpasti siapa yang hantar ugutan tersebut walau bagaimanapun dari sudut keselamatan kita akan memperketatkan sebab
“Saya difahamkan operasi itu akan berjalan (kawalan). Jadi, dari sudut kawalan dan keselamatan kita akan memperketatkan dan pastikan (tiada ancaman keselamatan),” katanya.
Beliau berkata demikian pemberita selepas Majlis Perasmian Simposium Sains Forensik Kebangsaan ke-6 untuk Penguatkuasaan Undang-Undang (NAFSLE) 2025 di Maktab Polis Diraja Malaysia, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Semalam, media melaporkan, kerajaan mengarahkan semua fasiliti LNG di Bintulu mengetatkan kawalan keselamatan serta-merta susulan ancaman yang diterima.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataannya memaklumkan langkah itu bagi membolehkan siasatan segera dilakukan terhadap ancaman berkenaan.
MKN juga dilaporkan telah mengambil langkah kawalan bagi memastikan keselamatan fasiliti terbabit.
Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung situasi berkenaan. – MalaysiaGazette
















