JOHOR BAHRU – Seorang doktor rugi RM175,384 selepas dua kali menjadi mangsa scammer yang menyamar sebagai polis dan syarikat pinjaman wang selang dalam beberapa bulan sahaja.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa merupakan seorang wanita iaitu doktor kerajaan berusia 29 tahun.
Menurutnya, kes pertama berlaku pada 29 Julai lalu selepas mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang mengaku sebagai wakil syarikat penghantaran barang memaklumkan mangsa ada membuat penghantaran barang mengandungi barang terlarang.
“Mangsa kemudian disambungkan kepada seorang individu kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak untuk membuat laporan polis atas talian.
“Mangsa kemudian berhubung dengan seorang lelaki yang menyamar sebagai Inspektor Sharom dan mengarahkan mangsa untuk memindahkan semua wang simpanannya,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, mangsa diarahkan berbuat demikian ke dalam beberapa akaun bank dengan alasan untuk tujuan siasatan dan bagi mengelakkan kerugian.
Doktor wanita itu katanya, membuat sembilan transaksi secara berperingkat-peringkat ke dalam lima akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM144,700 mulai 14 Ogos hingga 4 September.
Mangsa ujarnya, menyedari ditipu kerana masih diminta membuat pembayaran lagi.
Sementara kes kedua pula, Raub memberitahu, wanita tersebut menjadi mangsa penipuan syarikat pinjaman wang yang tidak wujud.
“Semuanya bermula pada 4 September lalu semasa mangsa berada di rumah di kawasan Johor Bahru berminat membuat pinjaman peribadi setelah membuat pencarian dalam google,” ujarnya.
Mangsa kata Raub, kemudian berhubung dengan agen syarikat terbabit untuk membuat pinjaman RM70,000 sebelum diminta memberikan butiran seperti salinan kad pengenalan, penyata gaji dan penyata bank kepada suspek bagi tujuan permohonan pinjaman.
“Mangsa diberitahu suspek bahawa pinjaman telah diluluskan dan wanita itu perlu membuat pembayaran bagi tujuan duty stamp dan menaikkan scoring bank miliknya,” katanya.
Mangsa percaya dan membuat sembilan transaksi berjumlah RM30,684 menerusi pemindahan wang secara dalam talian pada 5 dan 6 September lalu.
Menurutnya, sumber kewangan mangsa adalah daripada simpanan dan pinjaman peribadinya serta menyedari ditipu.
Doktor wanita tersebut kemudian membuat laporan bagi kedua-dua kes berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini semalam, katanya.
Tambah beliau, kedua-dua kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette
















