KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pengarah (Operasi dan Pengurusan), Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kamaruzaman Md Ali dinobatkan sebagai penerima Anugerah Personaliti Cemerlang – Kepimpinan TVET Berwawasan pada Malaysia Education and TVET Awards (META) 2025 baru-baru ini.
Anugerah berprestij diberikan kepada agensi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu sebagai pengiktirafan dalam landskap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.
Ia kerana kepemimpinan Kamaruzaman bukan sahaja dalam memperkasa agenda TVET negara di peringkat nasional malah memperluas pengiktirafan antarabangsa terhadap sistem kemahiran Malaysia.
Anugerah itu disampaikan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustapha Sakmud sebagai tanda penghargaan terhadap kepemimpinan strategik serta dedikasi Kamaruzaman dalam memperkukuh ekosistem sekali gus mencorak landskap pendidikan dan TVET negara.
Pengalaman dan kepakaran Kamaruzaman yang luas memainkan peranan penting dalam membentuk landskap pembangunan kemahiran dan bakat di negara ini yang meletakkan Malaysia sebagai salah satu negara peneraju TVET di rantau ASEAN.
Mengulas mengenai pengiktirafan yang diterimanya, Kamaruzaman berkata, ia akan menjadi insipirasi dan dorongan kepada dirinya untuk terus memperkukuhkan agenda TVET negara.
“TVET kini bukan lagi dianggap sebagai pilihan kedua, sebaliknya menjadi tunjang strategi pembangunan modal insan yang menyokong aspirasi Malaysia menuju status negara berpendapatan tinggi.
“TVET bukan lagi laluan alternatif sebaliknya arus perdana masa depan Malaysia dan peranan tenaga kerja mahir amat kritikal bagi mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0, ekonomi digital serta tuntutan kelestarian global,” katanya dalam satu kenyataan.
Kamaruzaman turut menyeru lebih ramai belia merebut peluang dalam bidang TVET kerana laluan ini bukan sahaja menawarkan prospek kerjaya yang luas malah berpotensi melahirkan usahawan berasaskan teknologi dan inovasi baharu.
Dengan pencapaian itu, beliau terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara tokoh TVET berpengaruh sekaligus membuktikan hala tuju strategik KESUMA dalam memodenkan ekosistem kemahiran negara berada di landasan yang tepat.
META ialah majlis anugerah yang diwujudkan bagi memberi penghormatan serta pengiktirafan kepada personaliti dan entiti pendidikan serta perniagaan di Malaysia yang cemerlang dalam menyediakan perkhidmatan terbaik dalam sektor pendidikan formal, termasuk penyedia latihan TVET di negara ini. – MalaysiaGazette
















