KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh menafikan dakwaan beliau telah menyerang Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berhubung kenyataan mengenai isu kemasukan seorang pelajar cemerlang ke universiti awam.
Menurutnya, beliau hanya menegakkan perkara yang betul dan menidakkan perkara yang salah.
“Rileks lah YB Wee Ka Siong. Mana ada saya serbu (serang), saya cakap dengan elok sahaja. Kalau saya serbu, bukan macam ini cara saya,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Dr. Akmal menegaskan, prinsipnya jelas bahawa sesuatu kesalahan perlu ditegur dan kebenaran wajib dinyatakan tanpa berselindung.
“Yang salah kita katakan salah, yang betul kena katakan betul. Kalau tidak mahu minta maaf, takpa teruskan pusing sana sini kerana rakyat tahu menilai siapa yang pusing siapa yang benar,” ujarnya lagi.
Dr Akmal merujuk kenyataan terbaharu Ka Siong yang berkata beliau tidak perlu meminta maaf kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Beliau semalam menggesa agar Ka Siong memohon maaf kepada KPT kerana berpendapat kenyataan awal yang dibuat Ka Siong menimbulkan persepsi seolah-olah sistem kemasukan universiti sedia ada rosak sedangkan terdapat lebih ramai calon lain yang memperoleh merit lebih tinggi.
Malah Dr Akmal berkata, kenyataan Ka Siong yang menuduh sistem rosak adalah tidak wajar kerana ia seolah-olah mencemarkan imej baik KPT dan penjawat awam yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka secara telus.
Semalam, Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam mendakwa seorang pelajar cemerlang tidak menerima tawaran ke program pengajian perakaunan di UM walaupun memperoleh keputusan yang baik.
Bagaimanapun, penjelasan lanjut daripada KPT mendapati calon tersebut sebenarnya memiliki merit 99.9 peratus namun persaingan sengit berlaku apabila terdapat lebih ramai pelajar memperoleh merit 100 peratus sedangkan kapasiti tempat adalah terhad. – MalaysiaGazette















