KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli menyindir suasana politik tanah air yang sarat dengan perebutan jawatan, khususnya isu calon perdana menteri dari pembangkang tetapi gagal menawarkan jalan keluar terhadap masalah rakyat.
Rafizi yang mengulas kecoh Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini bermula dengan kemunculan surat layang yang menuduh wujud gerakan memaksa Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur, katanya, hanya mengulangi kitaran lama politik Malaysia.
“Calon ahli Parlimen, calon menteri besar, calon menteri dan yang paling hebat, calon perdana menteri. Jadi, ini musim yang calon-calon akan tumbuh seperti cendawan,” kata Ahli Parlimen Pandan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi menambah, hampir semua parti besar sedang berdepan pergelutan dalaman dengan PKR masih dibayangi luka pemilihan lalu dan DAP pula bergelut antara veteran dan orang baharu.
Malah UMNO terus berpecah antara penyokong Najib Razak dan Zahid Hamidi, manakala Pas pula menunggu peralihan kuasa pasca Tan Sri Hadi Awang dengan pertembungan golongan ulama dan bukan ulama.
“Bersatu pula saya dimaklumkan keadaannya sudah sampai ke peringkat mengumpul tandatangan untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin. Itu belum lagi ura-ura usaha untuk mengumpul ahli-ahli Parlimen untuk tebuk atap sekali lagi,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Rafizi, perebutan jawatan itu masih tidak menjamin perubahan dalam arena politik negara.
“Calonnya banyak, cuma jumloh (jumpah) belum cukop. Belum cukop jumloh untuk menggulingkan Muhyiddin, belum cukop jumloh untuk tebuk atap,” katanya sinis.
Rafizi juga menegur budaya politik negara yang dikuasai oleh penyokong taksub atau “wala’” yang saling memaki hamun di media sosial, hingga memberi contoh buruk kepada generasi muda.
“Akhirnya, bila ada pemimpin baru yang naik, masalah tidak selesai. Maki hamun berterusan dan kitaran itu berterusan,” katanya.
Beliau menegaskan kelemahan utama politik Malaysia ialah masyarakat lebih menilai calon berdasarkan sentimen dan personaliti, bukannya kemampuan mentadbir.
“Sedangkan pemimpin politik digaji oleh rakyat untuk mentadbir dan menyelesaikan masalah. Itulah punca kepada penyakit masyarakat kita, iaitu calon perdana menteri banyak tetapi formula untuk selesai masalahnya kurang.
“Sebab kita tidak beri perhatian pun kepada idea yang dibawa, sebaliknya kita agung-agungkan sentimen dan personaliti,” katanya lagi.
Muktahir ini, isu calon Perdana Menteri ke-11 menghimpit PN apabila Bersatu mencalonkan Muhyiddin sebagai calon PM11.
Menteri Besar Kedah merangkap Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini menegaskan isu calon perdana menteri hanya boleh diputuskan secara konsensus semua parti dalam gabungan tersebut.
Katanya, tidak wajar mana-mana pimpinan membuat pengumuman awal kerana PN masih mempunyai ramai tokoh yang berkelayakan. – MalaysiaGazette
















