KUALA LUMPUR – Seramai 27 individu termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi kerana disyaki terlibat dengan sindiket counter setting bagi melepaskan warga asing masuk ke Malaysia tanpa mengikut prosedur ditetapkan.
Penahanan mereka susulan Op Rentas yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan SPRM telah menjalankan operasi di Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor, semalam.
Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman membenarkan 13 individu melibatkan empat pegawai agensi penguat kuasa, lima pemilik syarikat, seorang pengurus syarikat dan tiga orang awam lain direman selama tiga hari sehingga 12 September 2025.
Manakala Majistret Uthman Abd Ghani membenarkan tiga pegawai agensi penguat kuasa direman selama empat hari sehingga 13 September 2025 serta dua lagi selama lima hari sehingga 14 September 2025 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor dan Ayer Keroh, Melaka, pagi tadi.

Sementara itu, Majistret Sara Afiqah Zulkipli membenarkan lapan pegawai agensi penguat kuasa direman selama tujuh hari sehingga 16 September 2025.
Majistret S. Arunjothy membenarkan seorang lagi pegawai agensi penguat kuasa direman selama lima hari sehingga 14 September 2025 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada 19 lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an.
“Suspek yang ditahan disyaki terlibat sindikit counter setting di mana mereka dipercayai telah memberi dan menerima wang rasuah sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukkan warga negara asing ke negara ini tanpa menerusi prosedur yang ditetapkan.
“Susulan operasi itu juga SPRM telah menyita wang tunai lebih RM200,000, beberapa unit barangan kemas, kepingan emas, kereta, motosikal, beg tangan, jam tangan dan peranti telekomunikasi,” katanya.
Operasi itu juga menahan seramai 30 individu dan SPRM turut membekukan 40 akaun perbankan melibatkan 34 akaun individu dan enam akaun syarikat melibatkan nilai lebih RM1 juta.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGAzette















