JOHOR BAHRU – Seramai 143 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor diwajibkan menyertai Program Pemulihan dan Program Pengukuhan (Wellness Hub) kerana mengalami berat badan yang kritikal.
Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nadir, berkata, semua pegawai berkenaan mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 30 iaitu kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan pegawai di negeri ini.
Beliau berkata, masalah berat badan berlebihan perlu dilihat serius kerana berkait rapat dengan kesihatan serta kecergasan anggota bomba.
“Kesemua 143 pegawai terbabit dimasukkan ke dalam program khusus melibatkan latihan fizikal, kawalan pemakanan dan pemantauan jurulatih bertauliah.
“Program itu dilaksanakan sepanjang enam bulan bermula Jun hingga November dengan pemantauan berkala setiap bulan.
“Sasaran penurunan ditetapkan daripada BMI 30 hingga 40 kepada tahap ideal sekitar 29 menjelang hujung tahun dan seterusnya 28 pada tahun hadapan. Kebanyakan pegawai terbabit berusia antara 40 hingga 45 tahun ke atas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (BBP) Johor Jaya di sini hari ini.
Katanya, kegagalan mencapai sasaran tidak akan membatalkan penyertaan pegawai dalam program itu namun mereka tidak layak dipertimbangkan untuk Anugerah Perkhidmatan Cemerlang atau kenaikan pangkat.
Menerusi Program Wellness Hub, katanya, jurulatih terlatih akan memantau perkembangan peserta termasuk jenis senaman, komposisi lemak dan air dalam tubuh, selain panduan pemakanan.
Program itu turut mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan penurunan berat badan dilakukan secara sihat dan berkesan.
“Isu berat badan ini perlu dilihat secara serius kerana JBPM adalah agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menyelamatkan masyarakat yang sedang berdepan pelbagai jenis bencana sama ada di darat, laut mahu pun udara.
“Oleh itu adalah penting untuk pegawai dan anggota kita mempunyai tahap kesihatan fizikal yang baik untuk memudahkan mereka bertugas memastikan sebarang operasi dilaksana dapat dijayakan dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Beliau berharap semua 143 pegawai yang mengikuti program iru akan dapat mencapai tahap BMI sepatutnya agar mereka terus dapat memberikan yang terbaik dalam perkhidmatan.
Tahun lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, syarat kenaikan pangkat mengikut tahap BMI bagi JBPM dibuat bagi memastikan ia selaras dengan polisi Polis Diraja Malaysia. – MalaysiaGazette
















