JOHOR BAHRU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor sedia menghadapi gempa bumi yang diramalkan akan berlaku di daerah Segamat.
Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nadir berkata, pemantauan gegaran itu akan dikendalikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan pakar geologi.
Namun pihaknya sudah bersiap sedia daripada segi peralatan dan anggota termasuk unit elit Special Tactical Operation and Rescue Team of Malaysia (Storm).
“Gempa bumi ini sebenarnya di bawah MetMalaysia dan Geologist. Peranan bomba ini sebagai pasukan penyelamat sekiranya berlaku sebarang kejadian gempa bumi dan sebagainya.
“Kita memang bersedia daripada segi anggota dan peralatan untuk digerakkan bila-bila masa. Pada ketika ini persiapan kita lebih kepada peralatan.
“Kita ingin pastikan supaya peralatan yang akan digunakan untuk tujuan kerja menyelamat dan bantuan berada serta berfungsi dalam keadaan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan JBPM Johor di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya di sini hari ini.
Menurut Siti Rohani, JBPM Johor mempunyai Indikator Prestasi Utama (KPI) JBPM Johor baharu dengan kejadian gempa bumi, bagaimanapun tugasan dan skop penyelamatan masih sama.
“Untuk kes gempa bumi pun kita membuat tugas yang sama, dalam skop penyelamatan di darat, di air, runtuhan di bangunan dan sebagainya skop kerja masih sama.
“Cuma mungkin senario kecemasan berbeza tahun ini, kali ini kita bersiap sedia kerja penyelamatan kes gempa bumi sekiranya ada,” katanya.
Beberapa siri gempa bumi lemah di Segamat dan Batu Pahat bermula pada 24 Ogos lalu dengan magnitud 4.1, disusuli tujuh gegaran susulan antara 27 Ogos hingga 3 September dengan magnitud antara 2.5 hingga 3.4.
Mengulas berhubung peralihan monsun timur laut (MTL), Rohani memberitahu, pegawai dan anggotanya juga diletakkan dalam mod kesiapsiagaan susulan peningkatan taburan hujan lebih tinggi berbanding tempoh biasa.
“Sebagai persediaan menghadapi MTL, JBPM Johor juga telah menyampaikan 15 buah bot kepada pasukan Bomba Komuniti di seluruh negeri khususnya melibatkan kawasan hotspot banjir.
“Antara aset baharu yang diterima JBPM Johor pula adalah dua kenderaan utiliti, sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan sebuah smoke tent,” katanya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan ibu bapa mendapatkan maklumat ramalan kaji cuaca di kawasan kediaman serta kawasan percutian yang mahu dikunjungi pada musim cuti sekolah.
“Kita tidak mahu insiden lemas, kepala air atau apa-apa bencana yang sepatutnya dapat dielakkan daripada berlaku,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















