PONTIAN – Sebuah kapal pendarat tangki (LCT) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dikesan bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 1.1 batu nautika barat daya Pulau Kukup di sini semalam.
Pemangku Pengarah Maritim Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, kapal itu yang ditahan pukul 10 pagi, bukan sahaja melanggar undang-undang malah turut menghalang laluan keluar masuk kapal lain di kawasan berkenaan.
“Pihak kami cuba menghubungi kapal terbabit melalui saluran radio marin very high frequency (VHF) namun tiada sebarang respon diterima.
“Kemudian Bot Perkasa 42 segera digerakkan ke lokasi ketika rondaan Op Jaksa/Op Todak 2/2021/Op Tiris 3.0 sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pemeriksaan mendapati kapal itu dikendalikan sembilan kru warga asing terdiri daripada empat rakyat Indonesia dan lima rakyat Nigeria berusia 29 hingga 55 tahun.
Semua kru tersebut mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah namun nakhoda kapal gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia.
Beliau memberitahu, kapal terbabit kemudian ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Nakhoda dan seorang kru turut ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sungai Pulai sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Negeri Johor untuk tindakan lanjut, katanya.
Dalam pada itu katanya, penguatkuasaan Maritim di perairan Johor akan terus diperketat dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelanggaran undang-undang yang mengancam keselamatan negara.
Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung sebarang jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut ujarnya, boleh menyalurkannya ke talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor 07-2199401.- MalaysiaGazette
















