Muhammad Fairul (depan), Nursahkila (tengah) dan Elika Safitri (belakang) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas tuduhan mengedar dadah.

KOTA TINGGI – Sepasang suami isteri dan rakannya seorang wanita warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar 80 kilogram dadah pada 2 September lalu.

Tertuduh, Muhammad Fairul Jaffar, 43, isteri, Elika Safitri, 33, dan Nursahkila Yusof, 39, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Haydar Faridzal Abu Hasan.

Bagaimanapun, pengakuan itu tidak dapat direkodkan kerana di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga- tiga tertuduh didapati mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine berat kasar 80.33 kilogram di Taman Sri Penawar di sini pukul 10.30 malam, pada 2 September lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Dalam mahkamah sama, Muhammad Fairul yang merupakan pengusaha bengkel mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan Methamphetamine dan Amphetamine ke dalam badannya.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, pukul 8.50 malam, 18 September 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) Akta sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Bagi Seksyen 38B ADB 1952 tertuduh perlu menjalani pengawasan pegawai bagi tempoh tidak kurang daripada dua dan tidak lebih daripada tiga tahun.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa manakala Muhammad Fairul dan Elika Safitri diwakili peguam Nor Shahid Abd Malik.

Mahkamah menetapkan 13 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia dan tiada jaminan dibenarkan kepada semua tertuduh.

Pada 8 September lalu, polis Johor menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menjadikan kawasan perumahan berpagar dan berpengawal sebagai stor penyimpanan dengan rampasan bernilai RM2.57 juta hasil serbuan di kawasan Bandar Penawar, di sini awal bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi itu bermula pukul 10.30 malam pada 2 September hingga pukul 4 pagi, 3 September lalu.

Dalam serbuan itu turut menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta seorang wanita warga Indonesia bersama-sama sejumlah rampasan dadah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast